KUALA LUMPUR: Anda mahu tanam ganja, tiada masalah semua di hujung jari. Begitu senario bagaimana mudahnya rakyat Malaysia memperoleh bekalan benih ganja hanya dengan berurusan secara dalam talian dengan syarikat pengendali perkhidmatan e-dagang di luar negara.
Perkara itu sekali gus menunjukkan kelemahan kawalan keselamatan menangani sindiket penghantaran barang ke negara ini. Mungkin bukan sahaja ganja tetapi turut membabitkan barang bahaya lain seperti senjata api.
Susulan pembolosan seperti itu, kemungkinan sudah ramai rakyat negara ini telah ‘mengusahakan’ pokok ganja ketika Malaysia belum menghalalkan tanaman tersebut.
Penyamaran Utusan Malaysia untuk membeli benih ganja menerusi beberapa syarikat e-dagang di luar negara terbukti mudah dan jika mahu boleh dibeli pada bila-bila masa.
Lebih menyakinkan apabila pengedar secara terbuka mengakui aktiviti membekal benih ganja ke Malaysia sudah hampir 20 tahun dan dalam tempoh tersebut pengedar mahupun pembeli tidak pernah berdepan masalah termasuk tempahan tersebut tidak pernah ditahan di sempadan-sempadan atau pintu masuk negara ini.
Syarikat pengedar
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang kakitangan di sebuah syarikat pengedar di Barcelona, Sepanyol berkata, pihaknya sering menghantar benih ganja ke Malaysia melalui strategi disifatkan ‘bijak dan licik’ bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
“Prosesnya biasa sahaja iaitu benih ganja yang dipesan hanya perlu dimasukkan ke dalam sampul seolah-olah mengandungi surat ke alamat pembeli.
“Kami akan menghantar benih ini dengan mel yang berdaftar dengan cara sangat berhati-hati. Maksudnya, benih ganja akan dimasukkan ke dalam sampul surat beserta dokumen tidak berkaitan dan kelihatan seperti surat yang tidak boleh dibuka atau dibaca kerana ia adalah dokumen rasmi yang hanya boleh dibuka oleh pemiliknya.
“Biasanya, penghantaran ke Malaysia mengambil masa 20 hingga 25 hari pada waktu bekerja. Untuk mengelakkan kesan ketara lain, anda (pembeli) boleh menempah satu kemeja T daripada pautan yang kami akan berikan, untuk lebih berpura-pura dan elak dihidu pihak berkuasa,” ceritanya dengan selamba menerusi aplikasi Telegram baru-baru ini.
Kakitangan syarikat itu berkata, aktiviti itu sudah berjalan hampir dua dekad dan telah banyak menghantar benih ganja ke Malaysia.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut pihaknya atau pembeli belum pernah berdepan masalah.
“Tetapi ingat urusan ini tiada siapa boleh beri jaminan, kami hanya melakukannya dengan bijak untuk mengurangkan risiko. Itulah yang kami lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, kakitangan berkenaan enggan berkongsi gambar sampul yang bakal digunakan untuk mengisi benih ganja dan dihantar kepada pembeli.
“Kami tidak mahu berikan banyak maklumat tentang kaedah penghantaran benih ganja. Anda tahu apa yang anda perlu tahu sahaja dan selebihnya adalah tugas kami untuk pastikan ia sampai dengan selamat ke destinasi. Jika anda kata mahu berhati-hati, sudah tentulah keselamatan anda keutamaan kami,” katanya.
Laman sesawang
Berikutan itu, Utusan Malaysia yang melakukan semakan melalui laman sesawang e-dagang itu mendapati, syarikat tersebut menyediakan empat jenis benih ganja berkualiti iaitu feminized seeds, autoflowering seeds, short for cannabidiol (CDB) seeds dan benih campuran (pek kombo).
Harga semua jenis tersebut antara 12.50 pound (RM54.42) hingga 49 pound (RM213.32), mengikut pakej-pakej yang disediakan.
Kakitangan syarikat itu berkata, autoflowering seeds adalah benih ganja terbaik kerana spesies itu akan menjana pertumbuhan betina, berbunga secara automatik dan mampu melengkapkan kitaran keseluruhan dalam masa dua bulan bermula daripada benih hingga menjadi tunas matang.
Penanaman ganja jenis hemp (serat dan biji) yang bukan diluluskan untuk tujuan perubatan di Malaysia boleh didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B (1)(a) dan 39B(2). Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati serta boleh disebat tidak kurang 15 kali.
Benih ganja
Dalam pada itu, satu lagi pengendali e-dagang di United Kingdom (UK) ketika dihubungi menerusi e-mel turut mengakui pihaknya sudah banyak kali melakukan penghantaran benih ganja kepada pembeli di Malaysia menggunakan pelbagai taktik.
Antaranya melekatkan pek benih ganja di bahagian leher kemeja T sebelum dibungkus rapi, di dalam dompet, lego (alat permainan), penutup pen dan sarung CD/DVD manakala pembayaran boleh dilakukan sama ada secara tunai, kad debit atau bitcoin.
“Jika anda memilih penghantaran dengan ‘Sign-for with Extra Stealth’, kami akan membungkus semula benih ke dalam tiub hitam kalis hancur dan akan membungkusnya di dalam hadiah yang anda telah pilih, dan jika tidak mahu dibungkus semula, anda boleh menulis nota pada kami semasa proses pesanan.
“Kami juga memberikan jaminan semasa proses penghantaran benih ganja. Ini bermaksud, kami akan hantar semula atau kembalikan wang dalam masa tiga hari jika anda tidak menerima item dalam tempoh sebulan selepas dihantar,” katanya.

Pada Mac lalu, isu penanaman ganja hangat diperkatakan susulan penahanan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman kerana didapati menanam 17 pokok ganja dalam pasu dan memiliki dua plastik lut sinar berisi daun kering juga disyaki ganja seberat 214 gram di rumahnya.
Berikutan itu Yasin berdepan hukuman mati kerana didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.- UTUSAN










