PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO pada 15 Mei lalu mempunyai tujuan khusus bagi pindaan Fasal 10.16 (dan fasal berkaitan iaitu 15.3 dan 18.2). Perhimpunan ini agak ringkas, dimulai dengan ucapan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ucapan cadangan pindaan perlembagaan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.Cadangan pindaan ini mendapat sokongan 100 peratus semua perwakilan yang hadir seramai lebih 2,000 orang.
Pindaan ini menjadi satu persoalan besar yang boleh dilihat dari pelbagai sudut pandangan. Ia dilihat begini kerana sekarang sepatutnya adalah musim pemilihan UMNO yang berakhir pada akhir Disember 2022, iaitu 18 bulan dari Jun 2021. Fasal 10.16 yang belum dipinda menetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, bahagian dan cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan (Jun 2021).
Rumusan mudah, sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan sebelum Disember ini, maka pemilihan UMNO boleh diadakan dalam masa enam bulan selepas PRU dengan andaian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan baharu Perlembagaan UMNO pada 15 Mei ini.
Kesimpulan mudah difahami umum dalam proses ini adalah struktur kepimpinan di bawah Ahmad Zahid mahu dikekalkan walaupun ini dinafikan dalam ucapannya dan PRU kemungkinan besar diadakan dalam masa terdekat iaitu sebelum Disember ini. Alasan yang diberikan oleh kepimpinan sekarang kenapa pindaan ini perlu dan pemilihan tidak perlu diadakan sekarang adalah bagi mengelak perpecahan dalaman UMNO. UMNO perlukan sebuah kestabilan dalam menghadapi PRU15. Apa yang perlu adalah tumpuan perlu diberikan kepada PRU15 dan bukan pemilihan UMNO.
Adakah ini menjamin kekuatan dan sokongan pengundi secara keseluruhannya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)? Mungkinkah sokongan besar oleh seluruh rakyat mampu diraih dengan kepimpinan UMNO yang ada sekarang? Adakah benar satu tindakan tepat mengukuhkan kepimpinan sekarang yang diterajui oleh Ahmad Zahid bagi menghadapi PRU15? Adakah imej yang ditonjolkan dan kaitan kes mahkamah yang belum selesai oleh Ahmad Zahid tidak menggugat sokongan pengundi keseluruhan kepada UMNO dan BN? Adakah keputusan mahkamah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah diputuskan bersalah (sekarang dalam proses rayuan) dan hubungan baik kedua-dua mereka dapat menjamin sokongan pengundi secara keseluruhannya kepada UMNO dan BN?
Keputusan PRU bukan hanya ditentukan oleh lebih 2,000 perwakilan UMNO tetapi semua ahli dan pengundi di seluruh negara. Ini perlu dinilai dengan penuh hati-hati dan benar-benar teliti oleh semua peringkat dan ahli UMNO. Adakah rakyat benar-benar yakin dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy dan akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 (dengan andaian UMNO/BN menang)?
PRN JOHOR
Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini iaitu Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang dicanang sebagai bakal Menteri Besar jika BN menang, beralih kepada calon lain yang tidak disebut sebelum keputusan PRN. Apakah perkara sama akan berlaku di peringkat politik nasional selepas PRU15? Adakah ini tidak mempengaruhi persepsi dan keputusan sebahagain besar pengundi? Rakyat dan pengundi umum yang dahagakan kestabilan politik sekian lama (khususnya sejak ketidakstabilan selepas PRU14) akan membuat suatu perkiraan yang benar-benar teliti.
Apa yang berlaku dalam PRN Melaka dan PRN Johor bukan satu keputusan dan kemenangan mutlak kepada UMNO/BN (dengan peratus keluar mengundi yang sangat kecil). Keputusan mungkin boleh berubah jika peratus keluar mengundi lebih besar. Satu persoalan juga yang perlu difikir adalah sokongan pengundi Johor dan Melaka tempoh hari itu kepada pimpinan Ismail Sabri atau Ahmad Zahid? Penelitian tentang perkara ini juga perlu dikaji. Persepsi dan keyakinan rakyat terhadap Ismail Sabri akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 adalah tidak 100 peratus berdasarkan apa yang berlaku selepas PRN Johor. Persepsi pengundi sangat penting dalam mempengaruhi pola dan keputusan sesuatu PRU.
Rakyat mahukan sebuah parti dan kerajaan yang bersih daripada sebarang rasuah, salah guna kuasa dan terlibat dalam kesalahan keputusan mahkamah. Rakyat sudah muak dengan persoalan buruk dan negatif yang dinyatakan di atas. Kedudukan ekonomi, kejatuhan nilai mata wang dan pelaburan asing yang merudum mempunyai hubungan rapat dengan persoalan ketidakstabilan politik. Ketidakstabilan ekonomi mempunyai hubungan langsung dengan tahap kesejahteraan hidup rakyat. Dengan teknologi komunikasi sekarang, semua maklumat dan persoalan gerak laku politik dapat disebarkan dengan mudah serta cepat dan dapat mempengaruhi keputusan dan pola sokongan rakyat dan pengundi.
Persoalan dan rumusan akhir tentang pindaan Perlembagan UMNO, khususnya fasal 10.16.1, adakah selaras dengan perkembangan semasa yang berlaku? Kenapa tidak diadakan pemilihan UMNO sebelum akhir Disember 2022 dan bentuk satu kepimpinan baharu secara telus dan terbuka yang tidak terlibat dengan sebarang tuduhan salah guna kuasa dan rasuah? Serahkan sepenuhnya kepada para perwakilan membuat satu pemilihan pimpinan baharu UMNO. Siapa yang terpilih secara ikhlas dan sokongan majoriti seharusnya diterima oleh semua ahli dan perwakilan. Tidak semua boleh menerima pindaan Perlembagaan UMNO ini adalah bagi membentuk kestabilan dan mengelak perpecahan. Ada yang tetap berpendapat bahawa pindaan ini tujuan utamanya adalah bagi mengekalkan Ahmad Zahid.
Adakah perwakilan yang menyokong pindaan itu 100 peratus benar-benar ikhlas? Atau ada yang kepala angguk tapi di hati geleng menolak? Situasi persekitaran yang terpaksa mengangguk kepala kerana ‘semangat Jebat’ yang lemah dalam jiwa. Perjuangan UMNO atau mana-mana parti politik Melayu bukan sekadar untuk satu penggal PRU dan untuk mana-mana individu dan mana-mana kumpulan tetapi bagi tempoh masa yang lama beratus atau beribu tahun akan datang untuk semua umat dan menjaga kepentingan hak umat Melayu. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.










