PETALING JAYA: Lebih 9,000 restoran mamak di seluruh negara tidak akan menaikkan harga makanan dan minuman meskipun terbeban dengan kenaikan kos operasi antara 10 hingga 15 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya cuba bertahan untuk mengekalkan harga sedia ada kerana tidak mahu membebankan pelanggan yang kini berhadapan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.
Katanya, langkah menaikkan harga merupakan jalan terakhir sekiranya tidak dapat dielakkan, namun para pengusaha restoran mamak buat masa ini tetap mengekalkan harga semasa.
“Memanglah harga ayam, susu, tepung, minyak masak ada kenaikan, tetapi kami tidak akan menaikkan harga jualan walaupun terbeban dengan kenaikan tersebut.
“Kami akui situasi ini mengurangkan keuntungan kami, tetapi tidak memberikan kerugian. Oleh itu buat masa ini harga kekal seperti sedia ada,” katanya ketika dihubungi di sini.
Harga semua barangan keperluan dijangka meningkat antara 50 hingga 60 peratus pada masa terdekat khususnya bulan depan ekoran sikap para peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei lalu.
Dalam pada itu, Jawahar Ali berkata, pelaksanaan gaji minimum itu tidak memberi kesan kepada operasi restoran mamak dan terdapat pengusaha lebih awal lagi berbuat demikian sebelum kerajaan mengeluarkan arahan gaji minimum itu pada 1 Mei lalu.
Justeru itu kata beliau, pihaknya tidak menggunakan alasan gaji minimum bagi menaikkan harga makanan dan minimum restoran mamak.
“Masalah kritikal buat masa sekarang bukanlah kos operasi tetapi kekurangan tenaga pekerja, itu lebih penting bagi kami sekarang. Kami mengalu-alukan peralihan endemik, namun agak mustahil semua ahli dapat beroperasi 24 jam sehari,’’ katanya. – UTUSAN











