KUALA LUMPUR: Teruja menyambut lebaran yang bakal menjelang tiba, pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan mengakui tidak sabar untuk tampil menggayakan persalinan Syawal pada Aidilfitri tahun ini.
Kata jelitawan yang mesra disapa Che Ta, 49, dia bakal tampil menyarungkan lebih 10 persalinan yang direka khas pereka terkenal tanah air seperti Fizi Woo, Rizman Ruzaini, Man Kajang dan Wan & Mary.
“Pelbagai warna baju tahun ini. Dah macam lampu isyarat. Merah, Hijau, biru, baby pink, putih. Bermacam-macam. Tak ulang pakai.
“Cukuplah untuk dipakai sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini. Rekaan lebih berpijak di bumi yang nyata, realistik. Konsep glam all out,” katanya.
Dalam pada itu, Rozita berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini sedikit istimewa kerana dia dan keluarga berpeluang menyambut hari raya pertama di kampung halaman.
Katanya meskipun timbul kekhuatiran memandangkan Covid-19 masih menular, dia tetap gembira dan seronok kerana berpeluang menyambut bersama keluarga di kampung halaman.
“Selepas sembilan tahun, akhirnya kami dapat rasakan kemeriahan berhari raya pertama di Alor Setar.
“Sejak berumah tangga, hari raya pertama kami sambut di Kuala Lumpur sahaja dengan keluarga mentua.
“Tetapi oleh kerana tahun ini ibu mentua tidak menyambut, jadi kami sekeluarga termasuk adik beradik dan ibu memutuskan untuk pulang ke kampung, berhari raya di sana,” ujarnya. – UTUSAN










