Industri ternakan ayam perlu diaudit - Utusan Malaysia

Industri ternakan ayam perlu diaudit

SHAFIQURRAHMAN Shamsuddin ditemu ramah wartawan Utusan Malaysia, Fahmi Faiz (kiri) di Petaling Jaya, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENDEDAHAN demi pendedahan oleh akhbar ini mengenai kartel yang menguasai industri ayam terus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dan penyelesaian isu kenaikan harga ayam yang seolah-olah tidak mampu dikawal kerajaan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, FAHMI FAIZ dan jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI, Pengarah Nafas Food Processing and Marketing Sdn. Bhd., SHAFIQURRAHMAN SHAMSUDDIN mengulas isu ini.

Ikuti temu bual tersebut yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

UTUSAN: Boleh jelaskan siapa dan apa mereka buat?

SHAFIQURRAHMAN: Istilah kartel agak keras, sebab ia ada konotasi seolah-olah perbuatan jenayah. Mereka ini sebenarnya syarikat-syarikat besar yang menjadi pemain utama industri. Merekalah yang mencorakkan ekosistem industri ayam negara.

Macam mana ekosistem itu?

Ayam di pasaran hari ini datangnya daripada induk utama ayam yang digelar stok induk utama atau GPS. Kita bergantung kepada sumber GPS yang diimport dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah serta dalam negara.

GPS akan digunakan bagi menghasilkan stok utama (parent stock). Daripada itu, ia akan dihantar ke ladang baka untuk dibiarkan bertelur. Selepas bertelur, itu akan ambil masa 21 hari sebelum menetas menjadi anak ayam. Proses ini berlaku di pusat penetasan. Anak ayam yang menetas ini dipanggil day-old chick (DOC). Kemudian barulah dihantar oleh syarikat kepada penternak-penternak di seluruh negara.

Apa berlaku selepas dihantar kepada penternak?

Penternak akan bela anak ayam ini sampai matang, biasanya 30 hingga 35 hari sebelum dihantar ke pusat sembelihan untuk diproses. Akhirnya barulah ayam proses itu dibekalkan kepada pasaran.

Jika begitu, di mana kartelnya?

Mereka ini secara dasarnya pemain utama industri, lazimnya terlibat dalam membekalkan GPS, induk ayam dan anak ayam DOC. Tentang pembekal GPS, di Malaysia ada empat saja seluruh negara.

Kemudian, syarikat yang terlibat dalam bekalkan stok induk pula ada 30 di seluruh negara. Tapi yang GPS itu bukanlah satu fokus utama, sebaliknya kita harus fokus kepada syarikat pengeluar anak ayam di negara ini.

Kenapa kena fokus kepada syarikat pengeluar anak ayam?

Sebab faktor yang menyebabkan harga ayam di pasaran turun naik ialah harga anak ayam dan makanan. Tentang anak ayam, setiap hari ada pengeluaran anak ayam, jadi yang kita mahukan ialah agar ada satu bentuk mekanisme kawalan yang tentukan berapa pengeluaran anak ayam seluruh negara setiap hari. Sebab syarikat yang mengeluarkan anak ayam seluruh negara cuma 30 saja. Jadi, sepatutnya tak susah mahu selia pengeluaran mereka.

Mereka ada semua fasiliti dalam rantaian industri?

Daripada 30 syarikat pengeluar anak ayam di seluruh negara, yang ada fasiliti proses ayam matang untuk dihantar ke pasaran adalah 15 syarikat. Syarikat inilah yang disebut s integrator iaitu pengeluar ayam bersepadu.

Mereka ada semua dalam rantaian industri, ada anak ayam, ladang ayam atau mengupah penternak lain dan ada kilang proses yang lengkap terutama sembelihan. Di Malaysia, ada lebih kurang 30 syarikat besar yang dianggap mematuhi piawaian Veterinar Health Malaysia (VHM).

Maksudnya patuh kepada piawaian halal serta Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP). Jadi, orang yang ada stok induk lazimnya ada anak ayam. Dalam masa sama, dia ada kilang untuk proses bagi sembelihan dan pemasaran.

Kenapa anak ayam jadi faktor tentukan harga ayam matang di pasaran?

Kerana sekarang tiada sebarang sistem rekod data yang telus untuk kerajaan semak, berapa penghasilan anak ayam setiap hari. Apabila tiada sistem pemantauan atau satu lembaga khusus yang menyelia, sebab itulah sering berlaku putus stok anak ayam. Sedangkan ayam ini penting sebagai sumber makanan negara.

Kenapa tiada lembaga khusus?

Itulah hasrat kita, agar ada satu lembaga untuk mengawal industri ini. Kita tak boleh serahkan bulat-bulat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Setiap hari kita perlukan 2.2 juta ekor ayam di pasaran untuk memenuhi keperluan makanan negara. Oleh sebab tiada lembaga yang kawal selia industri, maka syarikat-syarikat pengeluar anak ayam berkuasa menentukan berapa anak ayam yang mahu dikeluarkan. Jika terlebih, mereka akan bakar anak ayam supaya kurang bekalan dan harga sentiasa kompetitif bagi mereka.

Kenapa mereka bakar?

Itu digunakan untuk menakutkan kerajaan dan tunjukkan seolah-olah mereka kawal. “Okay, hari ini ada lebih anak ayam, kami takut harga jatuh, kalau kerajaan tak bantu, kami bakar anak ayam.” Jadi, suasana itu ditakutkan dengan cara bakar anak ayam. Sedangkan proses mematikan telur itu boleh berlaku dalam tempoh 21 hari sebelum ia menetas. Sebab telur itu bukan terus menetas, embrio dalam telur perlu tunggu 21 hari.

 

PENGELUARAN anak ayam secara sistematik dan berintegrasi perlu bagi memastikan harga stabil di pasaran.

 

TIADA KAWALAN KERAJAAN

Jadi, punca kemelut ayam di pasaran bermula dari bekalan anak ayam yang diakibatkan tiada lembaga atau akta mengawalnya?

Ya, sebab bila anak ayam berlebih maka akan berlaku penurunan pada harga. Sebab hari yang kita tahu berlaku lebihan anak ayam, kita hanya tahu pada hari penetasan telur ayam itu. Dan untuk pengetahuan, data ini sebenarnya tiada yang kawal, syarikat-syarikat itu saja yang tetapkan sama ada lebih atau kurang anak ayam mereka. 30 syarikat itu berpakat sesama sendiri.

Jadi, adakah mereka yang bersalah sebab harga ayam naik berterusan?

Kita nak salahkan mereka pun, tiada orang yang kawal mereka. Contohnya, kalau kita masuk ke kilang orang lain, kalau kilang itu tiada pengawal, kita masuk saja ikut pintu belakang misalnya. “Kamu salahkan saya sebab masuk kilang ini, tapi kamu tak letak pengawal.” Puncanya sebab kerajaan itu sendiri tak tetapkan sebarang bentuk kawalan, baik dari segi penubuhan lembaga atau apa saja bentuk mekanisme.

Tapi ada sumber beritahu, bukanlah kerajaan tidak sediakan garis panduan, tapi kartel-kartel didakwa memberi rasuah sampai garis panduan tidak dipatuhi. Komen?
Itulah, apabila sudah tiada peraturan dan lembaga khusus untuk mengawal, apa saja industri pun, bila pihak itu sudah dapat kaut untung yang lebih tanpa kawalan, maka mereka mesti akan pastikan supaya sentiasa tiada terus kawalan. Itu lumrah.

Pentingkah lembaga untuk ayam dan unggas ini?

Jika diperhatikan, sejak Januari sehingga Mac tahun ini, kerajaan laksanakan sekurang-kurangnya tiga polisi untuk kawal harga ayam. Pertama, pada Januari, kerajaan keluarkan kelulusan import (AP) kepada 32 syarikat untuk bawa masuk ayam sejuk beku dari luar. Namun, malangnya ini tak dapat turunkan harga ayam.

Atas kegagalan pertama, maka pada Februari, kerajaan keluarkan pula empat AP import kepada empat pasar raya besar dan menyalurkan subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak. Malang sekali lagi, semua ini turut menemui kegagalan untuk turunkan harga ayam sehingga hari ini.

Kenapa perkara ini berlaku?

Sebab apabila tiada sebuah lembaga untuk kawal industri, maka kerajaan terpaksa bergantung kepada syarikat-syarikat pengeluar anak ayam untuk menetapkan sebarang keperluan bekalan dalam industri.

Boleh beri contoh?

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan sampai hari ini, tiada langsung lembaga khusus kawal industri ayam. Sedangkan kalau ikan, ada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), padi juga ada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Malah industri yang kurang diketahui rakyat seperti kenaf pun ada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara. Jadi, mengapa industri ayam yang penting ini tiada lembaga?

Jika tubuh lembaga, apa perkara utama perlu diberi tumpuan?

Kawal dan selia pengeluaran anak ayam secara sistematik dan berintegrasi, itu paling penting. Maksudnya, kerajaan dapat selia supaya di peringkat awal rantaian industri itu, ia telus. Sebab sekarang ini, tiada sebarang sistem rekod data pengeluaran di syarikat-syarikat pengeluar anak ayam.

Apa buktinya?

Saya tahu sebab saya berada dalam industri. Malah kita tahu, syarikat-syarikat ini tak perlu pun mendaftar berapa pengeluaran anak ayam mereka, tak perlu. Tapi benda ini penting upaya kerajaan boleh audit dan pantau, sebab ini babitkan industri utama makanan negara.

Contohnya macam gula. Sesiapa yang ada permit import (AP), mereka mesti simpan stok, tak silap saya sekurang-kurangnya untuk tiga bulan. Yang mana kerajaan sentiasa boleh audit. Kalau kerajaan tengok stok kurang dari tiga bulan, kena denda waktu itu juga. Jadi, di situ jelas bahawa mekanisme pengawalan itu ada. Sebab pernah berlaku keputusan bekalan gula yang mengakibatkan harga melambung. Tapi yang anak ayam ini, kita tahu memang tiada.

Apa kebaikan yang sistem itu boleh beri kepada kerajaan dan industri?

Kita kena ada satu kaedah rekod data pengeluaran anak ayam yang berpusat dan berintegrasi. Ini perlu direkod sejak awal proses penetasan telur. Saya percaya, setiap syarikat mesti rekod berapa telur yang ada hari ini, betul tak? Mereka mesti rekod, sebab itulah yang tentukan pengeluaran mereka nanti. Jadi, dari awal mereka rekod dan dengan sistem yang berpusat dan dikawal, maka kerajaan akan tahu berapa banyak telur yang ada di Malaysia. Telur berumur sehari, kemudian telur sebelum menetas di usia 21 hari. Jadi, kalau tiba-tiba kata terlebih jumlah telur, maka kerajaan boleh bagi arahan kepada syarikat-syarikat untuk matikan telur supaya tak menetas. Untuk mekanisme sebegini, ia sangat mudah, malah pembangun aplikasi pun boleh buat.

Siapa yang perlu kawal mekanisme ini?

Yang inilah perlu dicadangkan, supaya pihak memantau itu perlu ditubuhkan satu lembaga. Kerana kalau kita bergantung kepada MAFI saja, ia akan ada pertindihan. Saya bagi contoh. Kepakaran industri ternakan ayam memang pada MAFI. Tapi soal import baka GPS misalnya, ia pasti melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana berkaitan AP. Kalau MITI mahu stok lagi banyak misalnya, maka ada kementerian lain yang perlu dirujuk. Maksudnya, pengawalan industri ini tidak 100 peratus diletak atas bahu MAFI.

Macam mana pula dengan sekarang?

Segala pengeluaran, import eksport berkaitan ayam, kuasa mutlak itu terletak kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan MAFI. Sebab AP semua mereka yang tandatangan. Contohnya kalau mahu import ayam, semua melibatkan ahli lembaga dalam MAFI saja, tak pakai orang luar. Ada lapisan lembaga pengarah di pihak mereka, ada yang selia urusan teknikal, kemudian lapisan selanjutnya kelulusan pertama, kemudian kelulusan akhir, itu semua hanya diuruskan MAFI.

Sekarang ini yang mengakibatkan turun naik harga sebab ada hari anak ayam terlebih, ada hari kononnya bekalan anak ayam terkurang yang mana kesahihannya pun kita tak tahu. Ini betul-betul berdasarkan desakan pasaran sahaja, mereka yang kawal. Mereka cuma rancang sesama sendiri dan kerajaan tak tahu.

Macam mana MAFI rekodkan semua data pengeluaran anak ayam seluruh negara?

Semua berdasarkan rujukan daripada pihak syarikat-syarikat swasta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×