MASIH, sehingga kini, belum berlaku sebarang kebocoran gambar atau paparan wajah putera sulung buat pasangan sama cantik, sama padan, Noor Neelofa dan Haris Ismail.
Cukup berahsia, cukup eksklusif untuk ditatap oleh ramai orang memandangkan itulah hajat ibu bapa kepada Muhammad Bilal ini sejak dari awal kelahiran anak kesayangan mereka itu.
Bukan mahu berlagak baik atau apa. Malah, kedua-duanya saling mengerti, amat mustahil untuk mereka lari daripada sorotan kamera dan lampu glamor dunia hiburan itu andai sudah sekian lamanya bergelar pempengaruh dan anak seni.
Namun, pinta mereka cuma satu. Biarlah anak yang dilahirkan pada tanggal 29 Januari lalu ini tidak terkena tempias lampu glamor itu. Ya, sekurang-kurangnya mungkin buat sementara waktu ini.
“Saya pernah katakan sebelum ini. Bukanlah niat nak sorok sangat anak. Malah, saya tahu amat mustahil untuk mengelak daripada dipandang atau diketahui orang buat selama-lamanya.
“Mahu atau tidak, saya dan suami pun sedar, yang suatu hari nanti, orang akan lihat dia juga. Mungkin semasa kita sedang buat aktiviti di luar rumah dan sebagainya. Tak mungkin boleh elak.
“Tapi ada sebab mengapa kami lakukan ini buat Bilal. Bagi kami ini lebih kepada soal keselamatan dan kesihatannya. Nak beri peluang Bilal kuat dulu, membesar dengan sihat dahulu secara luaran dan dalaman,” katanya.
Pun begitu, kata selebriti usahawan terkenal tanah air ini, tidak bermakna teman-teman rapat dan keluarga juga tidak dapat melihat wajah Bilal.
Ini kerana, menurut Neelofa, pada waktu ini, ada sahaja teman rapat dan keluarga yang menziarahi berpeluang menatap wajah anakandanya itu. Cuma, belum dapat diizinkan untuk tujuan gambar atau rakaman video.
Pengalaman menjaga si anak
Terlakar rasa teruja di wajahnya saat diminta untuk bercerita perihal rutinnya menjaga Bilal sejak dari awal kelahiran.
Maklum sahajalah, menimang anak sulung dan menyandang status ibu buat kali pertama, tentunya ada cabaran tertentu yang dilalui oleh pelakon dan pengacara ini.
Hal itu diakui Neelofa yang beranggapan, sehingga kini ada waktu-waktu sukar dilaluinya bersama Haris. Namun sebagai ibu bapa, ia adalah satu pengalaman yang manis untuk dikenang.
“Masya-Allah, Bilal ini anak yang bertuah dan boleh dikatakan, dia ini sangat senang dijaga. Tak banyak menangis. Cuma, sekarang ini barangkali dia sedang berada dalam fasa peralihan waktu tidur dari siang ke malam, jadi dia adalah nangis sikit-sikit.
“Orang kata, nak berubah bulan pun iya. Saya banyak belajar daripada orang sekeliling. Kebetulan, aada dua orang kawan rapat yang mengandung serentak dan melahirkan anak.
“Bezanya cuma tarikh, tapi bulan kelahiran anak, sama. Jadi, mudahlah kami sama-sama berkongsi tips dan sebagainya dalam menjaga si kecil. Saya ada pembantu, tapi kalau boleh saya nak juga uruskan setiap benda untuk Bilal,” katanya.
Haris yang berada di sebelah, turut mengiyakan setiap butir kata isterinya itu dan baginya, meski sebagai lelaki dia tidak begitu pandai menguruskan anak, namun dia cuba menemani isterinya setiap kali Bilal perlukan perhatian.
“Adakala saya tolong juga tukar lampin Bilal. Tapi dalam bab menjaga anak ini, isteri yang lebih pakar. Tapi saya akan teman dia setiap kali Bilal menangis. Kalau tengah malam pun, saya akan bangun temankan dia walau untuk menukar lampin.
“Bila tengok susah payah isteri, saya rasa nak ucapkan tahniahlah kepada semua para ibu yang cekal dalam menjaga anak-anak. Sebagai lelaki dan suami, kita kena cuba berikan mereka semangat,” katanya.
Pesan buat anak
Barangkali cuba menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap Bilal, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Haris ialah menghasilkan dendangan lagu berendoi buat puteranya itu.
Berkongsi mengenai perkara itu, kata Pencetus Ummah (PU) dan penceramah bebas ini, dia pasti ramai dapat merasakan yang sama. Naluri seorang bapa yang begitu berbahagia ketika pertama kali mendakap bayi kecil, kurniaan Ilahi seperti Bilal.
“Berlagu sambil berzikir dan berselawat. Ia adalah hadiah daripada saya untuk Bilal. Masa nak buat itu, saya terfikir, apa agaknya yang sesuai dengan Ramadan dan sesuai untuk raikan anak sekali. Jadi tercetuslah ilham ini.
“Saya hasilkannya serentak dalam karya ini. Kiranya, kalau Bilal dengar alunan zikir ini, dia boleh dengarlah seakan ayahnya sedang mendodoikan dirinya sendiri,” katanya.
Kongsi Haris, untuk penghasilan alunan zikir itu, dia telah bertemu dengan komposer Faizal Tahir sekitar sebulan yang lalu dan menganggap karya ini sesuai dihasilkan bukan cuma untuk Bilal atau meraikan Ramadan, tetapi boleh didengari pada bila-bila masa.
“Kiranya kalau dengar itu, dapatlah kita saling mendengar pesan-pesan yang baik. Faizal tahu apa yang saya inginkan dalam karya ini. Maklumlah, dia pun dulu pernah menganggotai kumpulan nasyid.
“Selepas ini, mungkin saya akan hasilkan lagi zikir-zikir lain. Tak adalah cuma untuk Bilal sahaja,” katanya berseloroh.
Raya ceria, namun sederhana
Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran Bilal dalam keluarga besar figura terkenal ini sekali gus mencetuskan suasana ceria buat semua.
Justeru, apabila ditanya mengenai raya, tentu sahaja Neelofa dan Haris juga teruja menyambut lebaran bersama si anak.
Namun, dalam kemeriahan raya, mereka mahu bersederhana dalam beraya. Dapat berkumpul bersama seisi keluarga pun sudah cukup menyuntik makna sebuah kebahagiaan.
“Syawal kali ini kami sambut ringkas dan sederhana. Tahun ini pun kami tak balik kampung di Pasir Mas, Kelantan. Sebabnya, semua ada di ibu kota.
“Tapi, satu yang mungkin menariknya ialah buat Bilallah. Sempena raya tahun ini, macam-macam hadiah dia dapat. Kopiah pun ada! Tak sabar nak pakaikan dia nanti. Mengenai ziarah di Aidilfitri pun saya tidak sangat sebab mahu memastikan kondisi Bilal sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Tak ada ziarah sangat barangkali. Kami berdua nak pastikan keselamatan dan kesihatan Bilal. Kita tak nak susahkan orang dan kita juga tak nak orang rasa susah disebabkan kami. Anak kami ini masih kecil.
“Haritu pun, semasa dia kena suntikan vaksin untuk bayi, dia sangat tak berdaya. Saya yang tengok pun rasa sedih dan sangat kasihankan dia. Jadi tunggulah dia besar dan kuat sikit. Baru boleh berjalan,” katanya.










