Peralihan Endemik pada awal April lalu disambut baik oleh rakyat Malaysia. Apatah lagi tiada sekatan jalan raya pada bulan Syawal ini.
Hal itu bermakna, keriangan Hari Raya Aidilfitri dapat diraikan seperti sedia kala, namun prosedur operasi standard (SOP) jangan sekali diabaikan.
Bagi anak jati kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang itu, selepas dua tahun menyambut lebaran dengan keadaan tidak mengizinkan keluarga besar pulang ke kampung di Kuching tahun ini adalah masa yang terbaik untuk fokus jalinan ukhuwah.
“Raya yang meriah adalah situasi di mana semua orang mendedikasikan minda dan hati untuk meraikan hari raya.
“Selain itu, ketepikanlah seketika urusan kerja dan hal-hal yang boleh memadamkan semangat raya. Pendek cerita, apabila semua fokus pada sambutan raya, tentunya meriah!,” ujarnya.
Begitu pun, kongsi penyanyi yang popular menerusi lagu Boleh Blah itu, Nana akur untuk menjalani kuarantin selama 14 hari dan jalani segala ujian untuk memastikannya selamat bertemu keluarga.
Mengulas lanjut, Nana Sheme atau nama penuhnya Nur Nabilah Hashimi, 27, dia mengharapkan tiada lain selain kepuasan menikmati masa dengan keluarga tercinta.
“Apabila bekerja di perantauan, kepulangan ke Kuching tidaklah lama. Jadi saya harapkan satu sahaja iaitu, perasaan yang cukup dan puas hati meluangkan masa yang ada bersama keluarga, terutamanya pada hari raya.
“Dalam masa yang sama, adakan masa untuk bawa adik-adik menziarah kubur arwah emak,” luahnya.
Kekal cara lama
Ditanya mengenai perkara lazim sewaktu meraikan hari raya, bekas graduan Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berkata, bila sudah berkerjaya dan berkemampuan untuk mencari rezeki, inilah masanya untuk bagi duit raya kepada adik-beradik.
“Ya saya masih dapat duit raya daripada orang tua. Memandangkan saya kakak sulung dan rezeki sudah bekerja, sudah tentulah akan bagi duit raya dekat adik-adik. Kekalkan cara lama dan guna sampul duit raya,” ujarnya dengan nada teruja.
Berkongsi fasal kelengkapan baju raya pula, Nana dan keluarga sepakat untuk memakai satu tona warna yang sama.
“Alhamdulillah setiap tahun saya dan keluarga akan berusaha sekurang-kurangnya ada satu baju raya baru yang sedondon, tapi akan campur-campur juga dengan baju lama,” ujarnya.
Solo pertama
Berkongsi perihal muzik, Nana turut teruja apabila tahun ini merupakan kali pertama dapat mengeluarkan lagu debut raya berjudul R.A.Y.A.
“Setelah dua tahun tak keluarkan lagu, akhirnya terimalah buah tangan terbaharu daripada saya yang merupakan lagu raya solo pertama saya.
“Saya harapkan rezeki tahun ini boleh fokus hasilkan lagi lagu-lagu yang mendapat tempat di hati para peminat dan pendengar.
“Saya sebenarnya rindu macam dulu-dulu! Tapi selain itu, akan ada lagu baharu tahun ni, nantikan!,” ujarnya penyanyi lagu Hantu Atau Buaya.











