Moga tiada lagi ‘penyakit bermusim’ Ramadan akan datang

Moga tiada lagi ‘penyakit bermusim’ Ramadan akan datang

KKM melaksanakan Operasi Ramadan 2023 melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa mahu sakit perut atau cirit-birit selepas menikmati juadah berbuka puasa yang baru sahaja dibeli di mana-mana bazar Ramadan. Pun begitu, saban tahun kes-kes sebegini tidak pernah lekang dalam rekod pesakit yang mengunjungi klinik kesihatan sama ada awam atau swasta.

Ia petanda bahawa kes-kes melibatkan pencemaran juadah berbuka puasa yang dijual di bazar Ramadan tidak pernah selesai dan terhenti sejak dahulu lagi. Walaupun ia tidak seserius pandemik Covid-19, namun ia seolah-olah ‘penyakit bermusim’ setibanya bulan penuh mulia, Ramadan al-Mubarak.

Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sering memberi amaran dan peringatan kepada orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap makanan dan minuman yang dibeli di luar rumah, khususnya bazar Ramadan. Di peringkat penjaja dan peniaga, apa kurangnya. PKD dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berkolaborasi antara mereka untuk memperketatkan prosedur kesihatan diri, bahan dan produk makanan atau minuman yang disediakan di bazar-bazar Ramadan.

Pemantauan demi pemantauan juga sering digerakkan oleh PKD dan PBT terutama melibatkan bazar tumpuan orang awam. Semua ini antara usaha pihak berkuasa untuk menyekat kes-kes keracunan makanan akibat daripada amalan keselamatan pemakanan yang tidak mengikut prosedur.

Apatah lagi makanan yang menggunakan bahan-bahan berisiko tinggi seperti daging ayam, produk berasaskan ayam, telur, hasil telur, tenusu dan hasil tenusu. Mungkin ramai tidak tahu atau tidak sedar bahawa bahan-bahan ini mengandungi bakteria Salmonella yang mudah menjangkiti badan manusia. Sekiranya dijangkiti bakteria ini, badan kita akan mengalami beberapa tanda seperti demam, cirit-birit, sakit perut, muntah dan loya.

Oleh sebab itu, pihak berkuasa mensyaratkan para peniaga dan pengguna untuk menitikberatkan cara-cara pencegahan bakteria ini ketika persediaan makanan. Antaranya masak daging, ayam dan telur dengan sempurna. Elakkan daripada memakan daging atau stik mentah atau separuh masak.

ULAT

Selain itu, para peniaga atau penyedia makanan turut disyaratkan menggunakan peralatan berasingan seperti pisau dan papan pemotong untuk daging mentah dan yang telah dimasak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin antara yang peka dengan isu melibatkan keselamatan pemakanan di bulan Ramadan ini.

Beliau mengarahkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah KKM untuk meningkatkan penguatkuasaan di bazar-bazar Ramadan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Begitu juga dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang sentiasa peka kepada permasalahan dan aduan berkaitan keselamatan pemakanan oleh orang ramai. Beliau melalui Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa memantau kes-kes melibatkan kebersihan makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadan yang ada di Wilayah Persekutuan.

ULAT

Memandangkan kepadatan dan tumpuan orang awam adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya contohnya, maka tanggungjawab besar bagi PBT di situ untuk memastikan kesempurnaan pemakanan di setiap gerai yang ada di bazar Ramadan. Oleh sebab itu, Jalaluddin terus mengadakan tinjauan demi tinjauan ke bazar Ramadan secara rasmi dan tidak rasmi bagi meneliti sendiri kualiti makanan dan minuman yang dijual kepada orang awam sepanjang bulan Ramadan ini.

Khairy dan Jalaluddin mengambil ikhtibar dan perkaitan terhadap kes tular satu video menunjukkan seorang pelanggan menemukan ulat dalam makanannya yang dibeli di bazar Ramadan Putrajaya. Sebelum itu, tular juga di media sosial seorang pembeli kuih limas menemukan gumpalan rambut dalam kuih yang dibelinya di sebuah bazar Ramadan di Teluk Intan, Perak.

“Insiden sebeginilah yang saya tak nak ia berlaku. Saya tak nak pembeli bawa pulang makanan tercemar atau tak bersih untuk dimakan. Saya juga tak nak bisnes para peniaga rugi gara-gara premis makanan atau minuman mereka diarah tutup kerana melanggar akta.

“Harus diingat, kita ada akta yang mengawal perkara ini iaitu Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Makanan 1983 (Akta 281),” kata Jalaluddin.

Kita mengharapkan situasi ini tidak lagi berulang di mana-mana bazar Ramadan di negara kita. Benarlah, kita tidak mahu pengguna menerima sakit yang teruk dan kita juga tidak mahu peniaga menanggung rugi dek kerana tindakan pihak berkuasa ke atas mereka sekiranya arahan penutupan premis a diambil.

Peniaga juga tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa secara seratus peratus atas tindakan ini. Demi menjaga kemaslahatan bersama yang lebih besar, sudah tentu pihak berkuasa harus mengeluarkan arahan penutupan operasi kepada mana-mana peniaga yang gagal mematuhi prosedur keselamatan pemakanan yang telah ditetapkan.

Justeru, tanggungjawab para peniaga adalah perlunya mematuhi segala arahan berkaitan keselamatan pemakanan agar kualiti produk mereka kekal tinggi dan menjadi pilihan ramai.

Kita berharap Ramadan tahun hadapan tidak lagi berlaku insiden-insiden sebegini yang boleh memburukkan keadaan. Sama-samalah kita memecahkan tradisi untuk melihat Ramadan tahun hadapan tiada sebarang kes melibatkan keselamatan makanan ini berlaku, insya-Allah. – UTUSAN

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×