UMNO diburu sehingga PRU15 - Utusan Malaysia

UMNO diburu sehingga PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGENALI teknokrat Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau bukanlah seorang yang cepat melenting dan mudah menghambur kata nista.
Namun dalam isu butiran dokumen bocor yang didakwa konspirasi menjatuhkan para pemimpin UMNO, cepat saja ayam sabung Pas itu menuduh ia sebagai ‘sampah’.
Sedangkan Samsuri yang kita kenal seorang yang cukup berdiplomasi. Kecualilah jika mengikut fitrah manusia, kalau diasak maka akan jadi agresif dan defensif sampai cepat saja mendakwa dokumen itu ‘sampah’.
Biarpun Ahmad Samsuri telah mengakui wujud pertemuan dengan pemimpin yang disebutkan dalam dokumen itu, adakah apa yang terjadi perlu dijadikan iktibar? Yakni, bahawa dalam berpolitik biarlah buat kerja dengan cermat, jangan sampai kantoi sehingga menghakis kepercayaan sekutu dalam gagasan politik yang sama?
Walau apa hendak dikata, hakikatnya UMNO yang kini ‘diburu’ oleh para pesaingnya, penuh warna-warni. Siapa sangka parti yang sudah tumbang 9 Mei 2018, tetapi orangnya kini pula mengetuai kerajaan.
Bak siapapun tidak akan percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua. Tetapi ‘sejarah’ UMNO jugalah yang merencanakannya. Beliau menjadi Perdana Menteri pertama kali pada 1981, melalui UMNO yang ditunjanginya. Dan sekali lagi pada 10 Mei 2018, setelah 15 tahun meletak jawatan pada 2003, dengan melanggar UMNO yang menunjangi Barisan Nasional.
Sejarah jatuh bangun pemimpin dalam UMNO, seperti yang tertera dalam ‘dokumen bocor’ itu, menarik perhatian sesiapa sahaja. Ini sehinggakan menjadi bahan berita panas apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai poster boy dan PM ke-10 menghadapi PRU15.

UMNO KUAT?
Kalau diikutkan, bukan UMNO tak kuat pada PRU14. Yang tak kuatnya adalah MCA, Gerakan dan MIC – tiga parti komponen kanannya di Semenanjung. Bayangkan jika MCA menang separuh dari 37 kerusi Parlimen ditandinginya dalam PRU14 tempoh hari manakala Gerakan pun begitu jua. Malang sungguh, hasilnya hampas.
Daripada 37 kerusi, MCA cuma menang satu di Ayer Hitam, Johor dan Gerakan lagi teruk, dapat ‘telur’ sahaja dari 11 kerusi. MIC? Dua sahaja dari sembilan kerusi yang diredahnya. UMNO waktu itu meraih 54 dari 78 kerusi Parlimen. Bayangkan, jumlah 54 kerusi itu mengatasi mana-mana parti lain waima dari Pakatan Harapan (PH) pun (49 PKR, 42 DAP, 12 Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan 11 Parti Amanah Negara).
Meskipun nasib tidak menyebelahi UMNO dalam PRU14, UMNO akur harus kembali segera memperbetulkan keadaan. Barangkali kerana terlalu lama berkuasa, UMNO alpa.
Sebagai perbandingan dengan LDP di Jepun, terdapat banyak parti dominan di dunia ini telah kehilangan kuasa sebagai parti pemerintah. Misalnya Kongres di India (1977), Nacionalista di Filipina (1986), Golkar di Indonesia (1998) dan Kuomintang (KMT) di Taiwan (2000).
Golkar setelah memerintah Indonesia selama 32 tahun secara de facto, akhirnya parti pemerintah itu gagal meneruskan hegemoninya sebagai parti dominan. Kejatuhan Golkar sering kali dikaitkan dengan amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan mentadbir negara secara authoritarian.
Kuomintang (KMT) juga gagal mengekalkan kehebatannya sebagai parti dominan apabila tewas dalam pilihan raya presiden 2000.
Jason Brownlee (2008:112) yang membuat kajian mengenai politik Filipina menegaskan bahawa “Philippines fell after only two rounds of parliamentary and presidential polls – not because of those elections themselves, but because of the underlying politics instability that yielded elite defections and electoral defeats.”
Walau sehebat mana pun sesebuah kerajaan, pilihan raya adalah penentu nyawanya sama ada berakhir atau kelangsungan untuk terus memimpin dan memerintah. Pertembungan akan menemukan soal percaturan dan soal mengira peti undi. Adalah amat penting untuk belajar dan mengkaji jumlah angka. Kalau semua bertembung lima tahun sekali makronya sebelum mengundi menjadi satu episod, mekanisme dan selepas mengundi akan membawa episod yang lain pula.
Kerajaan yang kuat membawa maksud kepelbagaian variasi dan faktor ekonomi sangat penting dalam mendukung kekuatan politik. Kekuatan governance sangat penting dalam menguruskan pilihan raya khususnya kelancaran perjalanan pilihan raya serta penguasaan media.

KESETIAAN
Ahli-ahli UMNO menyedari perkara utama yang berjaya dihala tuju sebaik sahaja tumbang 2018 adalah parti keramat 76 tahun itu tidak diharamkan selepas memenuhi tuntutan bermesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian seluruh negara. Hala tuju kedua yang besar ialah bersetuju bersama saf kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO iaitu pertandingan atau pemilihan secara terbuka dan tanpa sekatan di setiap peringkat termasuk jawatan presiden.
Kembalinya UMNO hari ini kerana ahli-ahlinya sudah set-mind pada hari pertama selepas kekalahan besar menjadi pembangkang yang dinamik. Malah menjadi check and balance yang kritis. Yang diperlukan UMNO ialah orang parti yang loyalis, biarpun secara faktanya sebilangannya sudah menyeberang.
Kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesetiaan dalam perjuangan – yang tidak berbelah bahagi sama ada waktu senang waima pada waktu susah. Jangan lari waktu susah. Itu hanya menampakkan pegangan politik yang diperjuangkan sia-sia sahaja. Bahasa baiknya – bukan satu langkah terpuji.
UMNO akan terus diburu selagi PRU15 belum terjadi. Biarpun ‘dokumen bocor’ dinafikan Ahmad Samsuri, pertemuan para pemimpin yang disebutkan dalam dokumen itu diakui menteri besar Terengganu itu ada berlaku. Bukan sekali, tetapi beberapa kali.
Segala mata, bukan sahaja orang politik waima rakyat Malaysia kini tertumpu kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – kuasa dan senjata besar membubarkan Parlimen di tangan Perdana Menteri.
Seketika bila mengamati kemelut politik Melayu yang tidak sudah-sudah ini bila akan berakhir, teringat akan lagu dendangan mendiang Arie Wibowo tahun 80-an.

Antara liriknya yang menggamit perasaan:

Madu di tangan kananmu
Racun di tangan kirimu
Aku tak tahu mana yang akan kau berikan padaku…

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×