SEJAK lebih 30 tahun bertugas di universiti, memberi saya peluang untuk menyaksikan perpaduan kaum dipupuk segar melalui pelbagai aktiviti.
Sepanjang Ramadan ini misalnya, para pelajar pelbagai kaum bersatu menyediakan juadah iftar di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM). Mereka yang datang dari pelbagai latar budaya dan kaum menggembleng tenaga menyediakan hidangan berbuka puasa setiap hari untuk lebih 2,500 orang.
Mereka menyifatkan, ini sebagai peluang terbaik untuk lebih memahami budaya orang Islam dan bersatu merasai pengalaman yang amat penting sebagai persediaan menghadapi masyarakat masa hadapan.
Mereka bergotong royong bersama-sama rakan dan warga USM yang beragama Islam untuk menyediakan juadah dan mengagihkannya untuk berbuka puasa.
Di sini juga mereka berpeluang bertemu dengan pelajar antarabangsa yang datang dari pelbagai negara untuk merasai pengalaman sama.
Universiti terus menjadi medan menyemarakkan perpaduan kaum, meraikan kepelbagaian dalam kesatuan. Hal ini boleh dilihat juga dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan yang dilakukan termasuk ketika bencana banjir melanda negara, baru-baru ini.
Pelajar pelbagai kaum juga mewarnai aktiviti seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan persatuan-persatuan pelajar, sukan mahupun program yang dirancang khas untuk mencungkil bakat mereka.
Malah saya sendiri adalah Penasihat Persatuan Bahasa Tionghua yang sangat aktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti di kampus.
Mereka malah mengadakan kelas-kelas bahasa Mandarin untuk pelbagai kaum saban tahun yang menarik perhatian ramai peserta.
Malah mereka sangat beradab dalam perbincangan dan kepimpinan. Mereka akan datang memohon nasihat dan pendapat dalam apa jua yang dilakukan dan dibuat oleh persatuan.
SAHUR
Kampus adalah tempat terbaik untuk membentuk perasaan kekitaan dalam kalangan anak-anak muda. Ini termasuklah di tempat penginapan asrama atau Desasiswa.
Pengalaman yang dilalui oleh ramai siswazah yang dikejutkan waktu sahur oleh rakan sebilik daripada kaumlain menjadi antara kenangan manis di kampus. Saya sendiri pernah tinggal selama tiga tahun di bilik Desasiswa dengan rakan berlainan kaum.
Kami boleh berdebat, berbincang malah berbeza pandangan dalam apa jua perkara tetapi secara berhemah dan hormat- menghormati budaya dan agama masing-masing.
Program seperti Bakti Siswa yang membolehkan pelajar tinggal bersama keluarga angkat di pedalaman menjadi antara medan mendekatkan anak muda pelbagai kaum dengan masyarakat.
Pengalaman saya mengambil bahagian dalam Rancangan Bersama Desa USM di beberapa tempat menunjukkan bagaimana pelajar daripada kaum berbeza tinggal di rumah keluarga angkat hingga menjadi sangat akrab dan hubungan itu berpanjangan walaupun selepas tamat pengajian.
Kerana itu diharapkan usaha ini akan terus menjadi jati diri dan kompetensi utama anak muda kita di universiti dalam kepimpinan masa hadapan negara. Perpaduan perlu terus dipupuk dan disemai dengan cara apa sekali pun demi kesejahteraan masyarakat.
Sebagai sebuah menara ilmu, universiti perlu terus menjadi medan dan model kejayaan perpaduan anak muda pelbagai kaum dan negara bangsa untuk saling memahami serta kekal harmoni dan berkongsi kemakmuran bersama.
Cabarannya ialah apabila Covid-19 melanda, pelajar tidak dapat kembali ke kampus. Proses sosialisasi ini tidak dapat berlaku seperti saban tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, usaha dilakukan untuk membolehkan aktiviti sebegini segera dibuat seperti menjadi sukarelawan dalam menyediakan dan mengedarkan juadah berbuka puasa dapat diteruskan dalam bentuk lain pada masa hadapan. – UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).










