PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui mengalami kemerosotan ibarat berada pada kekuatan antara ‘dua hingga ke tiga silinder’ sahaja sejak berlakunya peristiwa Langkah Sheraton, apabila kehilangan beberapa pemimpin kanan parti ketika itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengakui, ia menjadi salah satu punca kepada kemerosotan prestasi partinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka, Sarawak dan terbaharu Johor bulan lalu.
Namun, beliau percaya, pemilihan parti kali ini menguatkan kembali barisan kepemimpinan dan jentera parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Dalam PRN sebelum ini, PKR sememangnya menghadapi pelbagai cabaran, tetapi wujud masalah iaitu selepas Langkah Sheraton, kita tidak sempat nak melengkapkan saf kepemimpinan utama parti.
“Hanya separuh pasukan yang memikul tanggungjawab dalam setiap PRN, kita tidak dapat bergerak dengan empat silinder, tetapi hanya tiga atau dua silinder sahaja. Keupayaan terbatas, tetapi insya-Allah, apabila selesai pemilihan nanti, dengan kepemimpinan yang lengkap, kita bersedia hadapi PRU-15,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan prestasi Parti Amanah Negara (Amanah) lebih baik berbanding PKR berdasarkan keputusan PRN Johor sebelum ini.
Malah, katanya, antara faktor prestasi DAP dan Amanah lebih baik adalah penggunaan logo Harapan yang dilihat sebagai simbol kebersamaan dalam Pakatan Harapan (PH).
Ketika ditanya sama ada PKR mempertimbang semula untuk menggunakan logo Harapan dalam PRU-15, Fahmi cuma berharap ia dapat diselesaikan dengan segera.
“Kita bukan hanya fokus kepada satu-satu aspek, sebaliknya melihat secara menyeluruh. Perkara ini perlu diserahkan kepada kepemimpinan, ia bukan boleh diputuskan dengan ringkas, tetapi boleh diselesaikan dengan kekuatan baharu dan nafas baharu.
“Namun, politik ini dinamik, keadaan boleh menjadi berbeza beberapa bulan akan datang, mungkin PRU-15 berlaku pada Jun atau September. Maka bila-bila boleh berlaku. Jadi keputusan perlu dibuat segera,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, keputusan menggunakan logo PKR di PRN Johor bukan dibuat Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.
“Segala keputusan parti dibuat secara bermusyawarah, bukan diangkat oleh individu. Seperti isu logo, ia diputuskan oleh akar umbi parti di Johor, bukan Anwar atau mana-mana pemimpin tertinggi lain.
“Sama juga dengan rundingan kerusi, ia dibuat dengan kesepakatan politik dan diputuskan di peringkat pimpinan,” katanya. – UTUSAN










