SEJAK kecil, Siti Aisyah Sulaiman, 35, dan adik-beradiknya yang lain telah diasuh untuk berdikari jika inginkan sesuatu tanpa mengharapkan bantuan daripada ibu atau ayah mereka.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya anak kelima daripada lapan beradik ini sudah pandai mencari wang sendiri ketika di bangku sekolah dengan menjual nasi lemak, kuih popia dan sebagainya untuk mendapatkan wang saku lebih.
Menginjak ke usia dewasa, Siti Aisyah bagaimanapun memilih menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan awam atas nasihat keluarga.
Hanya sempat bertugas sebagai seorang jurutera projek selama empat tahun, sebelum memutuskan meninggalkan kerjaya tersebut untuk membantu menguruskan perniagaan tauhu kering atau fucuk milik keluarganya di Bukit Mertajam.
“Keluarga tidak tahu cara terbaik untuk memasarkannya, jadi, ia menjadi tugas sayalah ketika itu membuat kerja-kerja pemasaran.
“Dahulu, semasa beroperasi di kilang lama, kami banyak menggunakan dapur kayu untuk memasak air soya sebelum diproses menjadi fucuk, namun kini gas digunakan untuk menjimatkan tenaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Siti Aisyah, ketika ini, syarikatnya Sayur Fucuk Hasdey boleh dianggap sebagai satu-satunya perusahaan Bumiputera mampu mengeluarkan produk tersebut dalam kapasiti besar di negara ini.
“Kita mampu menghasilkan sehingga 4,000 pek fucuk (setiap satu pek seberat 50 gram) atau kira-kira 80 kotak (setiap satu kotak mengandungi 50 pek fucuk) dalam masa sehari.
“Permintaan terhadap fucuk keluaran syarikat kami sentiasa ada dan ia biasanya akan meningkat sehingga tiga gali ganda menjelang Ramadan atau Aidilfitri,” katanya yang kini memiliki antara 15 hingga 20 orang pekerja.
Jenama fucuknya bukan sahaja boleh didapati di pasaran Malaysia, tetapi turut menembusi Brunei dan Arab Saudi.
“Kami ada kira-kira lima pengedar utama serta 300 ejen di seluruh negara selain sebuah ‘halal mart’ (kedai yang menjual produk halal) di Jeddah (Arab Saudi) sejak beberapa tahun lalu,” katanya yang merupakan generasi ketiga mewarisi pernigaan keluarga itu.
Anak jati Pulau Pinang ini berkata, ia menjual tiga jenis produk iaitu sayur fucuk, suhun serta gabungan antara kedua-dua bahan tersebut pada harga runcit antara RM2.20 hingga RM4 bagi setiap pek.
“Kami turut menjual bahan buangan kilang seperti hampas soya dan serpihan sayur fucuk untuk dijadikan makanan ternakan,” katanya.
Orang muda tak minat
Meskipun perniagaan itu kurang berdepan persaingan dalam kalangan bumiputera, namun Siti Aisyah akur sekiranya bisnes itu ‘terkubur’ suatu hari nanti.
Ia berikutan peningkatan kos bahan mentah, terutamanya soya yang diimport khas dari Kanada menjadikan perniagaan itu semakin sukar untuk bertahan walaupun permintaan terhadap fucuk sentiasa ada.
Pengeluaran juga tidak dapat dioptimumkan sepenuhnya kerana peningkatan beberapa kos lain yang berkaitan turut berlaku.
“Tidak ramai dalam kalangan generasi muda berminat menjadi usahawan fucuk secara sepenuh masa buat masa ini.
“Dahulu, saya pernah menganjurkan kelas untuk membuat fucuk dengan kerjasama beberapa agensi. Pada mulanya, memang ramai berminat selepas melihat prospek produk ini untuk dimajukan pada masa depan.
“Bagaimanapun, selepas menjalani sendiri latihan praktikal di kilang majoriti ‘berundur’ kerana tidak tahan panas,” katanya.
Mengulas lanjut kata Siti Aisyah, meskipun tidak yakin bisnes itu mampu bertahan untuk tempoh yang lebih lama, dia akan terus menggiatkan promosi sayur fucuk selagi terdaya.
“Saya anggap perniagaan ini sebagai sebahagian daripada fardu kifayah kerana tidak ada atau tidak banyak usahawan Bumiputera menjual produk seperti ini.
“Jika ada sekalipun di pasaran, kebanyakan adalah dipek semula iaitu dibeli secara pukal daripada usahawan bukan Bumiputera sebelum diletakkan jenama sendiri. Itu sahaja,” katanya.
Siti Aisyah turut meniaga aiskrim dan mengusahakan sebuah restoran, Bucu Cafe.
Malah pernah menjadi pembeli peribadi atau personal shopper khususnya sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19 bermula kira-kira dua tahun yang lalu.










