Orang Perikatan Nasional (PN) kata, mereka mohon isytihar darurat sebab nak elak pembubaran Parlimen. Kononnya tidak cukup sokongan untuk luluskan bajet (Belanjawan 2021). Bagi orang PN, kalau diadakan pilihan raya, maka kawalan Covid-19 terjejas. Jadi, kena bagi PM (Perdana Menteri) berkuasa penuh tanpa disoal. Datuk Nor Hisham (Ketua Pengarah Kesihatan) pun mendendangkan gurindam sama. Jangan ada pilihan raya, naya (aniaya) nanti. Dalam kolum hari ini, saya beri alasan-alasan kenapa saya menolak naratif malapetaka Covid-19 jika ada pilihan raya.
Saya tak mahu bincang kenapa guna Covid-19 untuk isytihar darurat dan memberi kuasa penuh pada PM untuk memerintah tanpa soal daripada rakyat melalui Parlimen bertonggak demokrasi. Itu kolum lain kita bincang.
Alasan pertama saya, negara-negara seperti New Zealand dan Australia mengadakan pilihan raya masing-masing dengan penuh kawalan, tertib dan matang. Jadi, kenapa kita tidak boleh mengikut model pilihan raya mereka dan masih terkongkong dengan corak lama mengundi dan berkempen melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)? Pilihan raya adalah hak rakyat nak pilih PN atau nak suruh dia beredar dari kerusi kuasa di Putrajaya. Itu hak rakyat. Rakyat hakim negara.
GANTUNG
Alasan kedua, banyak negara yang mempunyai kes Covid-19 lebih dahsyat tidak pula kata nak gantung Parlimen dan mengetepikan hak rakyat kerana isu penularan virus. Malaysia juga memperlihatkan kawalan terbaik Covid-19 dan mendapat pengiktirafan dunia dalam cara kita mengendalikannya. Syabas Kementerian Kesihatan dan pejuang-pejuang nya iaitu doktor dan jururawat. Jadi, tak ada alasan munasabah tiba-tiba Dr. Nor Hisham asyik mendendangkan lagu jangan adakan pilihan raya. Sorry doktor, itu hak rakyat.
SOP
Alasan ketiga, penularan Covid-19 di Sabah, ramai menyalahkan penguatkuasaan yang amat lemah oleh polis dan Kementerian Kesihatan. Beberapa rakan saya yang menjadi pemerhati memberitahu, SOP (prosedur operasi standard) tidak dijaga dan orang-orang besar yang berulang-alik berkempen tidak mengkuarantin diri 14 hari. Maka ramai ahli Kabinet yang kena termasuk Ketua Menteri Sabah yang baru dilantik. Ini salah siapa? Kita tahulah budaya kakitangan awam yang suka jadi yes man dengan ahli politik. Sebenarnya kakitangan awam perlu menegur dan mengambil tindakan terhadap orang politik walaupun mereka memegang kuasa di peringkat Persekutuan. Kakitangan awam bukan semestinya pak turut tetapi penjaga atau guardian jentera dan undang-undang serta SOP yang telah ditetapkan bersama pembuat dasar serta jentera pentadbiran.
Alasan keempat, SPR perlu mengubah 100 peratus cara mengundi dan berkempen. Garis panduan mengundi kita masa kini dah lapuk dimakan usang masa dan konteks atau keadaan. Sewaktu membuat garis panduan tentang mengundi, undi pos, waktu, tempat, cara memangkah dan macam-macam lagi, tiada siapa pun menjangka kita hidup dalam era satu virus yang mengancam seluruh dunia dan telah mengubah pelbagai aspek kehidupan dari ekonomi, pendidikan, rekreasi dan perniagaan. Semua dah berubah dan bakal sedemikian, mungkin satu atau dua tahun lagi selagi vaksin penawar tidak dijumpai.
24 JAM
Maka itu, cadangan pertama saya adalah berkempen secara berceramah perlu diharamkan secara total. Maka itu, semua stesen radio dan stesen TV perlu digunakan untuk kemudahan semua calon bertanding. Janganlah geng PN saja yang asyik bertempek dalam TV dan radio. TV dan radio adalah milik semua rakyat, bukan harta benda parti yang memerintah saja.
Saya juga nak cadangkan setiap 20 universiti awam kita mengerah tenaga akademik untuk menganjurkan debat, forum perbincangan dan ceramah melalui Zoom atau platform lain bagi memberi peluang kepada semua calon tidak kira parti mana pun. Janganlah ambil sikap pilih bulu, nak dapat naik pangkat profesor atau jadi naib canselor dengan memihak hanya kepada geng kerajaan masa kini atau bersifat perkauman atau pilih agama. Maka itu, dah settle isu kerkempen.
Bagi mengundi pula, saya cadangkan masa 24 jam untuk memberi peluang kepada semua pengundi selesa datang secara kumpulan kecil. Contohnya, saya dan isteri akan mendapat surat panggilan mengundi antara pukul 10 malam hingga 1 pagi. Kalau itu julat masa kami mengundi, insya-Allah kami berdua hadir. Jika lewat dari masa itu, maka tidak dibenarkan mengundi. Ini cara mengurangkan orang berpusu-pusu datang pada waktu popular seperti lepas maghrib atau tengah hari.
UNDI POS
SPR juga perlu memberi peluang kepada pengundi outstation atau undi pos. Saya pernah lihat Perancis mengadakan tempat-tempat khusus mengundi di London bagi rakyatnya yang bekerja di sana. Bagi rakyat Malaysia di luar negara, mereka juga perlu diberi peluang dan jangan mengguna alasan lapuk, iaitu undi pos hanya untuk polis, tentera dan jururawat. Sebagai rakyat, tidak boleh menerima sikap tidak prihatin kepada hak penting setiap kita.
Saya tidak akan bersetuju pengundian secara elektronik kerana ia terlalu mudah untuk dibohongi. Setiap orang yang tahu membaca dan menggunakan kemudahan komputer, tablet atau telefon pintar boleh mendapat maklumat kempen dan tempat mengundi serta waktu ditetapkan.
Maka itu, apa perlu kita takut pada pilihan raya? Hanya orang yang takut kalah undian akan takut diadakan pilihan raya. Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan. Mengundi adalah hak keramat rakyat memilih wakil-wakil mereka dan menolak wakil-wakil yang tidak buat kerja, yang hendak bermaharaja lela tanpa disoal dan yang suka lompat sana lompat sini. Pilihan raya adalah hari penentuan antara rakyat dan ahli Parlimen mereka!
PROFESOR Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis dalam media sosial.










