Tiga istilah lompat parti

Tiga istilah lompat parti

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, menyertai parti politik lain atau dibuang daripada partinya akan terlucut jawatan dan kehilangan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya.

Ini antara tafsiran Rang Un­dang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan 11 April ini bagi menangani tindakan lompat parti yang menyebabkan negara terpaksa melantik tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, tiga elemen itu merupakan antara draf yang dibentangkan dalam sidang khas Parlimen bulan depan dengan menyaksikan pindaan terhadap Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perkara 49A(1) bermaksud seseorang ahli Parlimen terlucut jawatan dan kerusinya kosong jika melepaskan keah­lian, dipecat atau berhenti atas apa-apa sebab daripada menjadi ahli parti politik disertainya.

Menurutnya, kedudukan ahli Dewan Rakyat terhenti apabila sebagai ahli daripada suatu parti politik dan kemudiannya menyertai parti politik lain.

“Tindakan lompat parti ini juga membabitkan ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangan.

“Sekiranya ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari beliau dipecat dan ia akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu, draf yang sedang digubal itu mempunyai pengecualian di bawah Perkara 49A (2) yang menjelaskan seseorang wakil rakyat tidak akan terhenti atau diistilahkan melompat parti atas sebab parti politik dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran atau melepaskan keahlian parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan.

“Yang terakhir sekali, Perkara 49A (3) pula membawa maksud bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat kerusinya telah menjadi kosong di bawah perkara ini, boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya,” katanya.

Jelas Wan Junaidi, ia juga membabitkan pindaan Perkara 10 dan Perkara 60 serta pindaan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan selain kemasukan Perkara Baharu 49A.

“Pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan adalah membabitkan kemasukan Fasal 10 (3A) yang membawa maksud bahawa sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berkait dengan parti politik boleh juga dikenakan oleh perlembagaan ini,” katanya.

Beliau percaya bahawa draf itu akan mendapat sokongan majoriti walaupun terdapat sedikit perbahasan mengenai peruntukan bahawa seseorang ahli Parlimen dipecat daripada sesebuah parti politik yang akan dikira terlucut jawatan.

“Undang-undang Anti Lompat parti ini membawa sinar baharu yang lebih cerah kepada arena politik negara sekali gus akan memberikan kestabilan yang dihasratkan oleh semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu, sidang Khas Parlimen pada 11 April akan menyaksikan satu lagi agenda terbesar pentadbiran negara iaitu mengehadkan tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun.

Jelas beliau, draf tersebut adalah agak mudah kerana hanya melibatkan pindaan ke atas Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan membabitkan kemasukan tiga butiran baru.

“Pertamanya adalah ke­ma­su­kan ceraian 43 (2) (a) (ii) yang membawa maksud bahawa seseorang Perdana Menteri yang dilantik hendaklah tidak memegang jawatan itu untuk tempoh yang secara agregatnya adalah melebihi 10 tahun.

“Keduanya adalah kemasukan Fasal 43 (4A) yang membawa maksud bahawa jika seseorang Perdana Menteri dilantik sudah memegang jawatan itu untuk tempoh yang secara agregatnya adalah melebihi 10 tahun, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan tetapi boleh kekal untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atas budi bicara Yang di-Pertua Agong dari tarikh Parlimen patut terbubar.

“Ketiganya adalah kemasukan Fasal 43 (4B) yang membawa maksud bahawa jika seseorang Perdana Menteri meletakkan jawatan berlandaskan kepada Fasal 43 (4A) maka keseluruhan Kabinet yang dibentuk oleh beliau juga hendaklah meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya te­lah melakukan pelbagai proses untuk mendraf termasuk me­ngadakan kaji selidik awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×