PUTRAJAYA: Kekurangan tanah pertanian ekoran bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan negeri antara punca yang menyebabkan negara terpaksa mengimport makanan bernilai RM63.6 bilion tahun lalu.
Malah, keghairahan menukar status tanah untuk projek pembangunan hartanah yang dilihat lebih menguntungkan turut menyebabkan penawaran hasil dalam negara tidak dapat menampung permintaan tinggi penduduk dan industri berasaskan makanan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia berkata, kebergantungan import makanan yang tinggi itu turut dikaitkan isu pembangunan tanah pertanian yang tertakluk di bawah pihak berkuasa kerajaan negeri.
Katanya, penentuan pembangunan tanah bermula daripada kelulusan syarat kepada pertanian, bangunan dan industri diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) sebagaimana terkandung dalam Kanun Tanah Negara 1965.
“Faktor tanah dan pertanian merupakan perkara di bawah senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Antara isu yang sering berbangkit adalah seperti Kebenaran Merancang (KM) untuk tujuan pemajuan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dari PBN terutama bagi petani yang tidak mempunyai tanah dan ingin mengusahakan pertanian.
“Petani menghadapi kelulusan TOL yang pendek untuk mengusahakan tanah pertanian dalam jangka masa panjang.
“Isu TOL telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini dan MAFI akan berbincang dengan Kerajaan Negeri berhubung isu tempoh TOL,” kata kenyataan itu.
Menurut MAFI, import makanan yang masih tinggi melibatkan 12 jenis makanan bagi yang mana jumlah tertinggi melibatkan produk kopi, koko, teh dan rempah bernilai RM9.5 bilion.
Selain itu, kos pengeluaran sentiasa naik ekoran kebergantungan kepada import input pertanian seperti baca, racun, benih dan makanan ternakan serta pada masa yang sama petani dan penternak berdepan dengan cabaran iklim serta usia yang menuju usia warga emas.
Katanya, antara isu dan cabaran dalam sektor agro makanan menyebabkan negara sukar mengeluarkan produk makanan sendiri adalah kekangan sumber asli (tanah dan air); perubahan iklim (kemarau dan banjir); kebergantungan kepada petani berumur dan pekerja asing serta penerimagunaan teknologi yang masih rendah.
“Kos pengeluaran yang tinggi (kebergantungan kepada import input termasuk baja, racun, benih dan makanan ternakan), akses pasaran dan pembiayaan, masalah penyakit dan perosak; dan amalan pertanian kurang mampan turut menyumbang” katanya.
Selain itu, kos pengeluaran sentiasa naik ekoran kebergantungan kepada import input pertanian seperti baca, racun, benih dan makanan ternakan serta pada masa yang sama petani dan penternak berdepan dengan cabaran iklim serta usia yang menuju usia warga emas.
Dua belas jenis makanan yang diimport adalah ternakan hidup (RM275 juta), daging dan sediaan daging (RM4.2 bilion), hasil tenusu (RM4.9 bilion), telur unggas (RM26.6 juta), ikan, krustasea, moluska dan sediaan (RM5.3 bilion) serta bijirin dan sediaan bijirin (RM8.8 bilion).
Sayur-sayuran (RM5.4 bilion), buah-buahan (RM4.7 bilion), gula, sediaan gula dan madu (RM4.6 bilion), bahan makanan untuk ternakan (RM7.7 bilion) serta keluaran dan sediaan makanan lain (RM7.8 bilion).
Pada 2020 ketika negara berada dalam tempoh pandemik Covid-19, nilai import berjumlah RM55.4 bilion.
Bagaimanapun, bagi sembilan jenis bahan makanan utama negara, nilai import adalah sebanyak RM20.26 bilion berbanding pengeluaran dalam negara sebanyak RM47.2 bilion.
Ia sekali gus menunjukkan negara memerlukan hampir 50 peratus lagi tambahan makanan dari negara luar bagi memenuhi keperluan sembilan bahan makanan iaitu beras, sayur-sayuran, buah-buahan, daging lembu atau kerbau, daging kambing atau biri-biri, daging ayam atau itik, telur ayam atau itik, susu segar dan ikan makanan.
“Ini termasuk bagi keperluan pengguna dan industri pemprosesan makanan serta bahan makanan yang tidak ekonomikal untuk dihasilkan dalam negara seperti bawang dan bahan makanan ternakan,” katanya di sini semalam.
Menurut MAFI, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan kebergantungan import makanan negara antaranya meningkatkan pengeluaran beras negara dengan pendekatan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Katanya, program itu melalui pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak dan sewaan yang menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Jelas MAFI, Lembaga Ruminan Negara turut ditubuhkan untuk meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan serta hasilan ruminan seperti daging dan tenusu yang akan beroperasi secara berfasa bermula tahun ini.
“Infrastruktur, kemudahan dan fasiliti di kawasan pengeluaran makanan seperti jelapang padi, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan kompleks atau jeti perikanan diperkukuh dan ditambah baik.
“Melaksanakan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sebanyak RM60 juta dan Program Modenisasi Vesel dan Mekanisasi Tangkapan sebanyak RM150 juta yang menawarkan dana pembiayaan untuk perolehan vesel moden dan peralatan berasaskan IR4.0,” katanya.
Pada masa sama, MAFI memberitahu, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) turut dipergiat untuk menghasilkan varian, benih berhasil tinggi, rintang penyakit dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta teknologi atau input penanaman yang mesra alam.
Katanya, penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian dan agromakanan juga digalakkan melalui Program Agropreneur Muda dan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan.
“Aktiviti pertanian bandar dan kebun komuniti di kawasan-kawasan yang bersesuaian diperluaskan selain mempromosi amalan pertanian baik melalui pensijilan myGAP dan myOrganic agar rakyat terus mendapat makanan yang selamat dan bernutrisi,” katanya. – UTUSAN










