‘Henti berpolitik, henti melobi’ - Utusan Malaysia

‘Henti berpolitik, henti melobi’

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam antara IPT dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV). – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adakah seseorang yang berada tidak sampai 22 bulan dalam Kementerian Pendidikan layak bercakap tentang agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sejak tujuh bulan lalu?

Pertanyaan selanjutnya, benarkah KPT membisu sejak Noraini mengambil alih yang sebelum ini di bawah menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH)?

Secara spesifiknya, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang kini Profesor di University of Stuttgart, Jerman menyanggah tuduhan beberapa pihak bahawa KPT membisu berhubung isu ketiadaan inisiatif kontigensi bagi siswa dalam suasana pandemik Covid-19. Menurutnya, tuduhan KPT membisu pasca Covid-19 adalah liar, tidak mengikut fakta dan tidak mengikut apa-apa analisis.

Daripada pengamatan dan akses yang beliau ada, KPT hari ini berada di landasan terbaik sebagaimana kementerian tersebut di bawah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini.

Sahol Hamid berkata, di saat pandemik Covid-19 masih menular, kenyataan mahupun tuduhan yang dibuat pihak terbabit menunjukkan mereka tidak memahami dan mengetahui peranan KPT itu sendiri. Tidak salah untuk menegur tetapi biarlah teguran tersebut terus kepada pihak universiti kerana institusi tersebut yang melaksanakan segala dasar kementerian secara komprehensif. Universiti sebagai pelaksana dasar merupakan pihak yang tepat untuk dikritik. Jika kritikan dihala kepada KPT, ia jelas bermotifkan politik semata-mata.

KASUT HITAM

Mengulas lanjut, pengalaman Sahol Hamid yang luas dan lama dalam bidang pendidikan tinggi membuktikan KPT, ketua pengarah dan ketua setiausahanya telah melakukan yang terbaik bagi memastikan pengajian tinggi berada di landasan terbaik.

KPT hari ini ditadbir dalam era kerajaan Perikatan Nasional (PN) di zaman pandemik Covid-19, bukannya seperti tempoh 22 bulan di bawah PH yang mana pengajian tinggi lebih fokus kepada isu-isu sekolah seperti dasar pemakaian kasut hitam dan program sasterawan.

Justeru katanya, dua menteri di bawah dua kerajaan berlainan menghadapi cabaran berbeza, bukan sahaja dari sudut masalah pandemik global malahan diselang-seli isu politik hingga memberi kesan kepada KPT sendiri. Sepatutnya, jika ingin bercakap dan mengkritik KPT, biarlah berdasarkan pengamatan, pengalaman yang luas sebagaimana bekas-bekas profesor atau naib canselor miliki.

Pesannya, jangan politikkan KPT dan kesemua polisinya kerana keadaan sekarang tidak sesuai ketika semua universiti sedang berhadapan norma baharu dalam mengubah tradisi penyampaian ilmu dari secara berdepan ke cara maya.

Mengulas mengenai saranan kepada naib canselor supaya berinteraksi dalam media sosial dengan warga universiti, perkara tersebut telah lama dilakukan sejak sebelum pandemik Covid-19, maka tidak perlu diperbesarkan.

Tentang kursus jangka pendek yang disentuh, ia telah pun dilaksanakan yang mana banyak pihak mengadakan webinar iaitu kursus jangka pendek untuk pelajar dan orang awam melalui aplikasi internet. Beliau sendiri mengadakan lebih daripada 10 webinar dalam tempoh enam bulan. Amalan berkenaan bukanlah tugas KPT secara khusus tetapi peranan pihak universiti dan individu untuk terus menambah ilmu pada saat pandemik Covid-19 sedang menular.

HANTAR PULANG

Mengulas mengenai pentadbiran KPT yang begitu mengambil berat kebajikan pelajar semasa pandemik Covid-19, Sahol Hamid yang mempunyai pengalaman mengajar di beberapa negara berkata, ada negara yang tidak membantu pelajar sebaliknya mengarahkan pulang begitu sahaja tanpa apa-apa bantuan. Bagaimanapun, KPT melakukan yang terbaik untuk membantu pelajar agar terhindar daripada wabak Covid-19. Bukan sahaja menjaga mereka sepanjang kuarantin malahan menghantar pulang dengan selamat hingga ke pintu rumah.

Nasihatnya lagi kepada pentadbir universiti, sokonglah segala dasar kerajaan yang memerintah (government of the day), amalkan turun padang dan jangan duduk di pejabat sahaja serta mengharapkan sangat kepada kesemua timbalan naib canselor untuk memikul tugas tersebut. Pentadbir universiti bukan sahaja perlu memahami masalah pelajar, malahan melihat bagaimana tenaga akademik mengajar jika ingin polisi dan dasar KPT berjaya dilaksana dengan sempurna.

Katanya yang mengasaskan pasukan bola sepak UiTM FC, sepanjang menjadi naib canselor, beliau bersikap seperti bapa kepada anak sehinggakan akaun Facebook miliknya sentiasa dikunjungi ribuan pelajar dan alumni pada setiap masa. Harapan beliau kepada pentadbir universiti, jangan berpolitik tetapi menyokong dasar KPT sedia ada.

Beliau seterusnya menasihatkan pihak yang berangan mahu menjadi naib canselor – berhentilah berpolitik, berhenti daripada melobi dan berhenti sabotaj naib canselor sedia ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×