Sebagai peminat, saya gembira melihat kebangkitan muzik nasyid yang dilihat kembali rancak sejak kebelakangan ini.
Pada saya, kumpulan Inteam merupakan antara yang paling aktif dan berterusan memperjuangkan irama tersebut dengan pelbagai pembaharuan diambil yang disesuaikan dengan permintaan semasa.
Kolaborasi Inteam bersama penyanyi-penyanyi mainstream saya sifatkan sebagai satu strategi dalam menyemarakkan lagi muzik jenis itu.
Paling menarik perhatian, pada saya adalah kolaborasi antara Inteam dan VE sekitar tahun lalu menerusi lagu Allah Allah Aghisna yang cukup memberi impak kepada pendengar.
Ketika berpeluang bertemu anggota Inteam tidak lama dahulu, saya minta pandangan mereka tentang kolaborasi tersebut.
Kata salah seorang anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun, hasrat berkolaborasi dengan VE sudah lama disimpan. Akhirnya dipermudahkan Allah SWT.
“Kami sudah lama berhasrat untuk berkolaborasi bersama VE. Mereka adalah artis zaman remaja kami dan kami mengidolakan mereka.
“Salah seorang anggota VE, Zaff mengajak untuk berkolaborasi. Itu adalah peluang istiemewa yang tidak boleh kami lepaskan.
“Alhamdulillah ada beberapa lagu. Kami melihat lagu Allah Allah Aghisna trending ketika itu. Ramai yang menyanyikannya. Akhirnya, kami rakamkannya secara berasingan ketika PKP dilaksanakan,” katanya.
Bercerita lanjut, seorang lagi anggota kumpulan itu, Mohd Syahril Abdul Khalid atau Syah berkata lagu berkenaan telah diberi nafas baharu sesuai dengan citarasa pendengar masa kini.
“Susunan dibuat orang yang sama iaitu saudara Wan Salleh. Kami suntikan nafas baharu agar kedengaran segar untuk disajikan kepada peminat kami dan juga VE.
“Penggemar kami dan VE memahami, susunan baharu yang disuntik pada lagu tersebut adalah bersesuaian untuk mereka.
“Ia Qasidah tradisional yang diberi nafas baharu. Berdasarkan komen pendengar, ramai yang suka akan versi ini,” ujarnya.
Kata Syah, kehadiran lagu Allah Allah Aghisna menambah lagi pilihan kepada peminat lagu berkenaan yang rata-rata mempunyai citarasa berbeza.
“Pendengar ada pilihan. Kalau mereka mahukan yang lebih baharu dan moden, mereka boleh dengarkan versi Inteam dan VE,” katanya.
MENYUMBANG KEPADA KERJA DAKWAH
Inteam ke depan dan kreatif dalam mempelbagaikan penyampai mereka. Itu satu pendekatan memberi impak tinggi.
Jelas Hazamin, kolaborasi bersama artis mainstream adalah satu peluang yang baik dalam memartabatkan lagi muzik nasyid dalam dan luar negara.
“Strategi bergabung dengan artis arus perdana adalah pendekatan yang bagus. Saya difahamkan, artis mainstream juga ingin berkolaborasi dengan artis nasyid. Khusus untuk projek Ramadan dan sebagainya.
“Mereka juga ingin menyumbang untuk kerja dakwah. Contoh seperti kolaborasi kami dengan Khai Bahar. Ia adalah win win situation.
“Kami cuba dekati pendengar-pendengar Khai Bahar, begitu juga sebaliknya. Alhamdulillah strategi itu menjadi. Bukan Inteam sahaja. Gabungan kumpulan Raihan dan Alif Satar juga mendapat sambutan,” katanya.
Kata Syah, setiap kerjasama memberikan impak yang berbeza-beza.
Tambahnya, banyak perkara yang tidak disangka-sangka berlaku. Khususnya apabila ada artis yang membawa haluan muzik berbeza, meluahkan keinginan untuk menyampaikan lagu ketuhanan.
“Kerjasama dengan Sam Bunkface adalah sesuatu yang diluar kotak. Dia bercita-cita untuk menyanyikan lagi yang diboleh sebut nama Allah.
“Lagu Mencari Sinar pada Sam merupakan permintaannya yang Allah SWT kabulkan. Pada kami pula, ia adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka,” jelasnya.
Apabila disoal tentang kerjasama seterusnya, Syah berkata dia dan anggota Inteam yang lain mengharapkan untuk bergabung dengan lebih ramai penyanyi di Malaysia dan luar negara.
“Mungkin untuk seterusnya, kami mahukan perkara yang sama. Berkolaborasi dengan penyanyi yang pernah atau tidak menyanyikan lagu nasyid.
“Pilihan (artis) subjektif. Kami juga ada berkolaborasi dengan penyanyi luar negara.
“Antaranya seperti penyanyi kelahiran United Kingdom, Hamza Robertson dan penyanyi asal Perancis, Munir. Alhamdulillah. Kami dapat kerjasama yang lebih meluas lagi,” kongsinya.
KEBANGKITAN PELAPIS BAHARU
Saya terpanggil meminta pandangan Inteam tentang kehadiran pelapis baharu muzik nasyid yang pada saya, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Kata Hazamin, mereka juga mengalu-alukan kehadiran pelapis baharu untuk bersama-sama memperjuangkan muzik nasyid.
“Sebenarnya, kini adalah masa untuk muzik nasyid bangkit kembali. Sejak zaman kegemilangan sekitar awal tahun 2000 sehingga kini, kita tengok banyak pelapis-pelapis baharu muncul.
“Seperti kumpulan Zayne dan ramai lagi. Kami sangat mengharap ramai lagi pelapis-pelapis baharu hadir dengan lagu-lagu yang berkualiti,” katanya.
Ujar Hazamin lagi, pendekatan terkini juga penting dijadikan strategi pelapis muda untuk menarik pendengar yang seusia mereka.
Katanya, oleh yang demikian penggunaan platform media sosial adalah satu keperluan untuk tujuan tersebut.
“Cuba ikut platform remaja-remaja sekarang. Seperti TikTok, Instagram dan sebagainya.
“Kita nak tarik generasi baharu. Peminat Inteam pun ramai yang sudah meningkat usia. Kita nak pelapis baharu dengan peminat generasi baharu.
“Oleh itu, tidak salah untuk penyanyi nasyid tembusi platform-platform media sosial sedia ada,” jelasnya.











