PETALING JAYA: Pemimpin utama UMNO masih belum membincangkan cadangan membubarkan Parlimen seperti diputuskan Perhimpunan Agung UMNO 2021 Sabtu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang ketetapan terhadap cadangan membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibincangkan lima pemimpin tertinggi UMNO iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden parti.
Ditanya bilakah perbincangan bakal berlangsung, beliau berkata, tarikh itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Belum, kita belum bincang. Tarikh mesyuarat pun belum ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketika Perhimpunan Agung UMNO 2021, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Ismail Yaakob berkata, keputusan berkaitan cadangan untuk membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi UMNO.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pemimpin dan akar umbi UMNO mahu Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU15 kerana mahu mengekalkan momentum kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Malah mereka memberikan alasan kerajaan sedia ada tidak stabil sekali gus memerlukan mandat baharu bagi membentuk pentadbiran yang kukuh ekoran majoriti yang ada adalah tipis dan boleh mempengaruhi kemasukan pelaburan serta ekonomi asing. – UTUSAN










