TH dan Pertubuhan Dana Kita lancar Program Sinar Baru bantu asnaf

TH, Petubuhan Dana Kita bantu golongan asnaf

AHMAD Marzuk Shaary (dua dari kiri) melihat demonstrasi jahitan pada Majlis Pelancaran Program Sinar Baru TH "Usahawan Jahitan Bersama Dana Kita", di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pertubuhan Dana Kita melancarkan Program Sinar Baru untuk membantu golongan asnaf yang berminat menjadi usahawan dalam bidang jahitan.

Selaras dengan matlamat itu, Bengkel Pengurusan Jahitan akan dianjurkan secara percuma kepada 50 peserta terpilih daripada golongan asnaf dan selepas itu mereka akan dipantau selama setahun.

Sebanyak RM272,500 telah diperuntukkan di bawah program tersebut bagi pembelian mesin-mesin jahit industri, barangan keperluan jahitan, seterika wap, makan minum sepanjang bengkel asas tiga hari termasuk kos pengurusan.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen S.M.A Abdul Wahab berkata, Program Sinar Baru yang dilancarkan itu merupakan Program Zakat TH untuk melahirkan usahawan asnaf dengan cara memberi kemahiran-kemahiran bersesuaian kepada mereka.

“Melalui program terbabit, TH telah bekerjasama dengan Pertubuhan Dana Kita bagi tujuan melatih 50 golongan asnaf yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan jahitan.

“TH juga mendapat kerjasama daripada Pejabat Zakat, pihak sekolah serta komuniti kampung bagi senarai asnaf setempat, dan saringan pemilihan dilakukan oleh Jawatankuasa Majlis Tertinggi Dana Kita yang dilantik.

“Pihak Dana Kita juga akan mendapatkan projek-projek jahitan bersesuaian yang boleh memberikan pulangan baik dan keuntungan kepada asnaf-asnaf terlibat.

“Kami berharap kerjasama dengan Dana Kita itu akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Program Sinar Baru yang diadakan di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, Program Sinar Baru itu merupakan usaha yang amat baik  untuk membantu memberi kemahiran asas kepada golongan asnaf supaya mereka dapat berdikari seterusnya menjadi usahawan, hasil ilmu daripada kemahiran yang dipelajari.

Ujarnya, pada 2019, banyak individu terutama golongan B40 yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

“Hidup mereka menjadi bertambah sukar, malah ada dalam kalangan M40 yang turut terkesan dan dihimpit beban kewangan yang teruk.

“Justeru, usaha memberi ilmu kemahiran asas seperti menjahit, memasak, baik pulih peralatan, menggunting rambut dan sebagainya itu, saya percaya akan dapat membantu mereka menjana dan menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri, beliau berkata, ia untuk memastikan tiada individu yang teraniaya dalam hubungan rumah tangga.

“Dari segi pelaksanaan undang-undang kekangannya tidak terlalu besar, tetapi masalahnya ialah dari segi pelaksanaan kepada dasar yang dilakukan itu.

“Sebelum mengenakan sebarang tindakan undang-undang, kami akan cuba menasihati, bangkitkan kesedaran dan memberi kaunseling terlebih dahulu.

“Bila tiada pilihan, tindakan undang-undang sangat diperlukan bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pembekuan akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi berkaitan lain berhubung usaha itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×