rakyat Johor mengundi

Hari penentuan: 2.59 juta pengundi pilih 56 DUN, 11 parti politik

Petugas SPR menampal pelekat pada peti undi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 hari ini di Dewan JKR, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kurang 24 jam lagi seramai 2.597 juta pengundi akan memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan membentuk kerajaan baharu untuk lima tahun akan datang.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu menarik penyertaan 239 calon daripada 11 gabungan dan parti politik yang bertanding termasuk 16 calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan parti yang melepasi majoriti mudah 29 ke­rusi boleh diketahui kira-kira pu­kul 10.30 malam esok. Majo­riti dua pertiga di Johor adalah 38 kerusi.

Cuaca pagi ini di Johor diramal cerah manakala ribut petir pada sebelah petang di beberapa tempat.

Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, MCA dan MIC meletakkan calon di kese­mua 56 kerusi dengan langkah seru­pa diambil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan di bawah Perikatan Nasional (PN).

Pakatan Harapan (PH) walaupun turut berbuat demikian tetapi bertanding mengguna­kan tiga logo berbeza iaitu lambang PH mewakili DAP dan Par­ti Amanah Negara (Amanah), ma­­nakala PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ma­­­­sing-masing memakai logo sen­­diri.

Parti lain yang bertanding pa-da PRN Johor adalah Parti Pe-juang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Bu–miputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bermula 26 Februari lalu, pengundi termasuk mereka yang pertama kali, akan menunaikan tanggungjawab susulan pelaksanaan pendaftaran undi automatik termasuk Undi18 meliputi pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Sejak Mei 2018, Johor menyaksikan  30 peratus pengundi baharu dengan pertambahan 749,731 orang. Untuk kategori Undi18 pula berjumlah 173,177.

Selasa lalu, peratusan mengundi awal di 63 pusat pengundian di seluruh negeri mencatatkan lebih 81 peratus kehadiran melibatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan masing-masing.

PRN Johor juga menyaksikan kali pertama sejumlah besar rakyat negeri itu yang berada di Singapura dibenarkan mengundi secara pos dengan dua penghantaran dibuat pada Ahad dan Selasa lalu.

Persaingan kali ini menyaksikan tiada pertembungan satu lawan satu, sebaliknya antara tiga hingga tujuh penjuru dengan hampir dua pertiga perebutan sebanyak empat penjuru.

Faktor calon dan manifesto atau kini dinamakan sebagai Ikhtiar, Ikrar dan Pelan Tindakan oleh setiap parti dijangka mempengaruhi sentimen pengundi selain isu-isu seperti lompat parti dan prestasi semasa pemerintahan BN, PN 17 bulan  dan PH 22 bulan.

BN setakat ini dilihat mendahului parti-parti lain dalam saingan memikat hati pengundi melalui pelbagai gerak kerja seperti kempen bertemu masyarakat serta ceramah yang kembali dibenarkan secara fizikal sepanjang negara masih dilanda pandemik Covid-19.

Dalam kempen saat-saat akhir, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad terus menjelajah seluruh negeri terutama kawasan DUN Benut yang dimenanginya sejak 2008 setelah satu penggal bergelar Ahli Parlimen Pontian.

Dalam temu bual dengan Utusan Malaysia sebelum ini, Menteri Besar Johor itu berkata, kestabilan adalah kunci utama pembangunan Johor kerana kerajaan yang kukuh sahaja berupaya membuat perancangan jangka pendek dan panjang demi manfaat rakyat.

“Sebagai sebuah negeri yang terletak di kedudukan strategik dan berpotensi tinggi, segala agenda pembangunan perlu diteruskan tanpa harus dipersia-siakan walaupun sehari,” katanya.

Malah, beliau juga menegaskan kerajaan negeri tidak boleh dikekalkan sehingga tamat penggal pada tahun hadapan iaitu 16 Julai 2023 kerana ia merugikan Johor dan rakyat negeri itu.

PN pula yang pada awal kempen sering melaungkan modal ‘kluster mahkamah’ kini dilihat mula menggunakan isu Felda termasuk kejayaan yang didakwa hasil usaha mereka dalam menghapuskan hutang peneroka tanah rancangan itu.

PKR dan PH pula terus mengharapkan kepulangan pengundi luar dan peratusan keluar mengundi yang tinggi esok bagi menghidupkan peluang menjadi kerajaan  negeri buat kali kedua selepas 2018.

Sehingga semalam, parti lain yang bergerak solo terus tidak menunjukkan sebarang tanda positif memenangi kerusi ekoran perhitungan di banyak kawasan dianggap melibatkan BN dan PN selain beberapa DUN antara BN dan DAP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×