NILAI setiap undi pada pilihan raya adalah sama. Kiraan undi dibuat mengikut kadar satu undi bagi setiap pengundi berdaftar. Ertinya, kiraan undi bukan didasarkan kepada siapa yang mengundi, sama ada lelaki atau wanita mahupun muda atau tua. Jadi, tidak perlu dipersoalkan isu segmen usia atau jantina dalam pengundian atau berpolitik.
Tidak kiralah mana-mana segmen itu membawa angka yang banyak atau sedikit, namun apa yang penting disedari bahawa berpolitik untuk semua bukan mengikut segmen sosial tertentu. Berpolitik adalah proses mendapat kuasa untuk membentuk kerajaan atau pemerintah.
Setelah mendapat mandat menerajui pemerintahan pula, liputan kebajikan yang diberikan adalah kepada semua segmen masyarakat. Pendekatannya inklusif. Pengalaman lebih enam dekad sejak merdeka, Malaysia membuktikan pendekatan inklusif ini ternyata memberi manfaat kepada semua.
Dalam tempoh itu juga, Malaysia turut mengamalkan konsep konsensus, sederhana dan adil saksama. Hasilnya, negara makmur, maju dan progresif.
Setiap dasar dan perancangan kerajaan yang memerintah waktu itu sentiasa mengambil kira keperluan semua. Malah tiada yang tertinggal, tercicir atau terkecuali.
Masyarakat bandar dan luar bandar, golongan belia dan dewasa, petani atau pengusaha kecil, peniaga atau penjawat awam, semua mendapat perhatian agar sama-sama dapat menikmati kemakmuran negara.
Justeru, kata banyak pendapat, parti-parti politik tidak perlu dilahirkan mengikut segmen usia. Dalam mana-mana parti boleh sahaja dikembangkan sayap-sayap seperti Pemuda, Puteri, Wanita atau Veteran.
Parti menjadi kuat apabila setiap sayap dapat bergabung tenaga ke arah mencapai matlamat perjuangan yang serupa.
Semua pihak perlu menjuruskan fokus dan usaha bagi menjana kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara secara menyeluruh. Cuma barangkali ada kesesuaian untuk memberi penekanan lebih khusus terhadap mana-mana sektor mengikut keperluan semasa.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, ada pihak mengajak masyarakat agar tidak terlalu cenderung menyifatkan pengundi-pengundi berusia 18 tahun yang pertama kali berpeluang mengundi sebagai pengundi muda. Mungkin ada rasionalnya. Bimbang barangkali ungkapan ‘pengundi muda’ menggambarkan seolah-olah kalangan pengundi ini dianggap kurang menghayati keperluan berpolitik atau hala tuju berpolitik demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Sebaliknya golongan ini lebih sesuai dipanggil ‘pengundi baharu.’ Panggilan itu mungkin turut mencangkup mereka yang baharu mula mahu mengundi walaupun sudah lama layak untuk mengundi. Cabaran bagi golongan yang merupakan lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi itu adalah untuk membuktikan mereka tetap turut berada dalam arus pemikiran politik nasional yang mahukan kestabilan kemakmuran dan kemajuan.
DOMINAN
Melihat secara umumnya, ramai calon yang dipertaruhkan oleh kebanyakan parti pada PRN Johor kali ini terdiri daripada golongan muda. Suatu manifestasi bahawa golongan muda yang dianggap pelapis kepimpinan masa depan tetap menjadi perhatian. Tentu sahaja seluruh ahli parti akan memberi sokongan padu kepada mereka.
Dalam pergerakan politik atau apa sahaja organisasi kemasyarakatan, tidak perlu dipisahkan secara ketara mengikut peringkat usia. Semuanya perlu berada dalam satu saf yang boleh saling membantu dan bekerjasama. Gabungan mereka yang berpengalaman dan mempunyai fokus masa depan yang bernas tentu sahaja boleh diadun untuk menguatkan keadaan.
Tidak perlu ada sikap suka meremeh di antara satu sama lain. Setiap individu atau kelompok memiliki kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Menelusuri hakikat ini perlu diiring dengan semangat saling menerima, memahami, menghormati dan menghargai.
Pengalaman adalah panduan dan guru paling berharga bagi kehidupan. Kehidupan pula mesti disesuaikan dengan keperluan semasa. Ukuran kemajuan bukan statik. Ada perubahan yang hadir mengikut kemajuan dan perkembangan. Semuanya menuntut persediaan untuk sama berubah. Dan di sinilah pemikiran generasi muda perlu dihormati, manakala pandangan dan pendapat orang lama perlu dihargai.
Sukar mengekal status ‘dominan’ jika tidak ada pakatan mempertahan moral dan kekuatan. Ada pepatah berkata, memencil diri hanya memudahkan pihak musuh menceroboh dan mengkhianati. Dengan sendirinya teringat pula kepada cogan kata, bersatu teguh, bercerai roboh.
Dalam konteks PRN Johor, carilah parti yang benar-benar berdaya dan berupaya. Rakyat Johor tidak perlu dikempenkan. Mereka tentu tahu memilih parti atau gabungan parti-parti di mana terdapat di dalamnya setidak-tidaknya sebuah parti induk yang boleh memayungi rakan-rakan komponen lain. Tanpa parti induk atau tonggak, dibimbangi kestabilan terambing goyah.
Johor perlu dikembalikan status maju dan membangun. Perlu dipulih kembali segala yang terencat dan tergendala. Cagaran paling utama adalah kestabilan politik.
Jangan dicanang kejayaan nanti sumbangan sesiapa, sama ada pengundi baharu atau lama kerana yang penting kemenangan besar bagi mana-mana parti tetap bermakna, kebaikan untuk semua.
Beralasan tidak mungkin membawa perubahan. Dan carilah perubahan jika itu suatu keperluan bagi menjamin tercapainya kejayaan tertunai impian. – UTUSAN
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










