JOHOR BAHRU: Lebih seminggu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, calon DUN tersebut, Dr. Maszlee Malik akhirnya menyatakan kesediaaan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Johor jika mandat diberi kepada Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini.
Katanya, sebarang tugas yang diamanahkan akan dibuat dengan sebaik mungkin berdasarkan pengalaman beliau sebelum ini sebagai bekas Menteri Pendidikan pada 2018.
“Apa pun tanggungjawab diberikan kepada saya, saya laksanakan sebaik mungkin. Waktu jadi menteri, saya sentiasa beri peringatan kepada kakitangan bahawa kita perlu hidup dengan konsep ‘itqan’ iaitu buat kerja sungguh dan perfection, buat sehabis baik dan semaksimum mungkin.
“Kalau dalam konsep Mandarin kita panggil ‘semangat naga dan kuda’. Sama ada dalam bidang perniagaan, pendidikan dan lain-lain serta dalam apa juga saya lakukan sama ada politik, pentadbiran, perniagaan dan saya hidup dengannya,” katanya dalam program sembang politik anjuran MMTV PRN Johor, semalam.
Maszlee adalah Menteri Pendidikan ketika pentadbiran PH yang meletak jawatan lebih kurang sebulan sebelum Langkah Sheraton yang menyaksikan gabungan itu tumbang selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengosongkan kerusi Perdana Menteri.
Dalam PRN Johor kali ini, Maszlee dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar Johor, namun sebelum ini beliau menafikan perkara itu dan menyatakan bayangan tersebut terlalu tinggi meletakkan dirinya sebagai Menteri Besar.
Ketika ditanya mengenai beberapa pihak yang cemburu beliau diangkat menjadi calon DUN Layang-Layang kerana baru sahaja menyertai PKR, Maszlee berkata, beliau hanya akur dengan keputusan kepemimpinan parti.
“Apabila diputuskan untuk saya bertanding, saya terpaksa akur bertanding di Layang-Layang. Nanti kepimpinan kata ‘awak baru sertai parti, kalau tidak mahu akur, kena keluar’. Jadi, apa pun dalam sesebuah organisasi, disiplin dan kepatuhan itu penting.
“Sebab itu bila ada beberapa pimpinan keluar dari Pakatan Harapan, ia bertentangan dengan nilai dan prinsip , saya tidak mahu ikut,” katanya bagi menjelaskan mengapa beliau tidak mengikuti jejak langkah Dr. Mahathir untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Kerusi DUN Layang-Layang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PKR yang diwakili Maszlee, K. Alagathiran (Perikatan Nasional), Abdul Mutalib Abd. Rahim (Barisan Nasional) dan Ahmad Syafiq Othaman (Pejuang).
Pada PRU-14 lalu, kerusi tersebut dimenangi calon BN, Onn Hafiz Ghazi yang kini bertanding di kerusi DUN Machap.
Dalam masa yang sama, Maszlee turut mengulas isu kasut hitam yang dikaitkan dengannya serta isu pemansuhan tol Simpang Renggam.
Katanya, isu tersebut adalah polemik yang dimainkan ahli politik yang sebenarnya tidak memberi kesan kepada masyarakat.
“Tanggapan rakyat berbeza, bagi ibu bapa yang ada anak-anak OKU (orang kurang upaya), dia tidak terbayang dua perkara itu. Ia polemik yang dimainkan ahli politik. Ia, memang kerajaan pernah janjikan tol secara peringkat dan kita mulakan dengan mengurangkan 18 peratus, tetapi umur Pakatan Harapan hanya 22 bulan, tidak cukup lima tahun.
“Jadi dalam 22 bulan itu kita berjaya selesaikan beberapa isu berkaitan rakyat seperti isu ekonomi, pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya yang menolak dakwaan rakyat telah hilang kepercayaan terhadap PH. – UTUSAN










