MENGAPA pula Perikatan Nasional (PN) cuba jadi juara dan hero Felda uar-uarkan kerajaan pimpinannya berjaya melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion sebelum ini?
Itu dibangkitkan Pengerusi PKR Johor, SYED IBRAHIM SYED NOH.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, Ahli Parlimen Ledang itu mengingatkan mereka tidak perlu mendabik dada mengakui hero sebenar Felda.
Padahal usaha membantu peneroka bukan baharu. Bahkan, banyak diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN), sebelum diteruskan Pakatan Harapan (PH).
Mengapa PN tiba-tiba akui mereka juara Felda?
Saya tidak pasti apa tujuan PN sedangkan PH ketika menjadi kerajaan telah membentangkan Kertas Putih Felda pada 2019. Maknanya sudah ada tindakan untuk menyelamatkan.
Walaupun kita menjadi kerajaan 22 bulan, tetapi ada perkara telah dilakukan PH. Namun ada tidak sempat buat akibat pertukaran kerajaan kerana Langkah Sheraton. Saya rasa kalau tidak tukar kerajaan, PH sudah dapat atasi isu Felda.
Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin teruskan rancangan PH?
Mereka ini oportunis kerana berani claim (tuntut), padahal PH yang rancang. Segala usaha menyelamatkan Felda adalah rancangan kita sebelum ini. Cuma tidak sempat buat. Lagipun tiada isu siapa nak selamatkan Felda sedangkan BN pun pernah buat. Kertas Putih Felda pun kita sudah uruskan. Jadi, tak payah PN dan Muhyiddin nak claim seolah-olah jadi hero dan jaguh Felda.
Manifesto PH tidak sebut pula pasal Felda?
Kita kemuka tawaran manifesto yang menyeluruh dan merangkumi semua Bangsa Johor termasuk warga Felda. Jika lihat keseluruhan manifesto, ia menyentuh aspek perumahan, kebajikan dan pendapatan semua rakyat. Sekali pun tidak sebut Felda, tidak bermakna PH tidak pedulikan nasib peneroka. Kalau kita kemuka soal perumahan dan kebajikan, tentunya membabitkan nasib Felda.
Adakah PH dan PKR tidak umum calon menteri besar satu strategi?
Kita perlu lihat isu pokok iaitu untuk dapat sokongan dan menang seberapa banyak kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan. Apa pun kita kena menang dahulu.
Boleh menang PKR-PH?
Insya-Allah. Apabila sebut isu rakyat dan kos sara hidup, mereka senada dengan perjuangan kami. – UTUSAN











