ARAU: Penerima anugerah Pingat Emas Canselor Unimap, Poh Lee Ching, 25, berkata, di zaman kecilnya, dia pernah melihat bagaimana kesukaran ibunya yang terpaksa bekerja keras bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga yang hidup dalam serba kesempitan.
Kehidupan mereka bertambah sukar, apabila Lee Ching kehilangan ayah akibat serangan jantung ketika dia dan adiknya, Poh Lee Ming, 23, masih kecil.
Malah, satu ketika, mereka hanya sekadar mengalas perut dengan roti dan kopi apabila gaji ibunya yang kecil tidak mampu membeli makanan termasuk beras, selain dia terpaksa berjalan kaki sejauh enam kilometer ke sekolah kerana tidak mampu membayar sewa van.
Sejak itu, Lee Ching tekad belajar bersungguh-sungguh bagi membantu merubah nasib keluarga dan kesungguhan anak sulung daripada dua beradik itu berjaya membuahkan hasil apabila dia dianugerahkan Pingat Emas Canselor.
Anugerah disampaikan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) ke-15 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.
Lee Ching salah seorang daripada dua penerima anugerah tersebut yang disampaikan Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Anugerah Pingat Emas Canselor itu diberikan kepada graduan ijazah pertama yang cemerlang dalam akademik dan bidang kokurikulum.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer itu berkata, anugerah yang diterimanya itu adalah hasil semangat dan pengorbanan ibunya, R. Jayamaney, 60, yang merupakan seorang pekerja kilang.
Katanya, selepas kematian bapa, ibunya seorang diri membanting tulang dengan pendapatan yang tidak seberapa bagi menyara kehidupan mereka tiga beranak.
“Kadang kala kami tidak makan nasi kerana gaji ibu tidak cukup dan hanya menjamah roti dan kopi. Di sekolah, pula pada waktu rehat pun cikgu yang tolong beri kami makan.
“Akibat kesempitan hidup itu juga, saya tidak memasuki kelas tambahan, tidak pernah membeli buku rujukan atau latihan. Hanya belajar sendiri dengan meminjam buku dari perpustakaan namun tetap fokus belajar.
“Saya dan adik perempuan juga pernah belajar menggunakan cahaya lilin selepas bekalan elektrik dan air dipotong kerana ibu mengambil cuti sakit dan tidak dibayar gaji,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Lee Ching, selepas mendapat pekerjaan sebagai jurutera reka bentuk perisian di Intel Malaysia, dia tidak lagi membenarkan ibunya bekerja setelah insan kesayangan itu ditimpa kemalangan sekali lagi dua tahun lalu.
“Saya turut merancang menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah dan menyimpan cita-cita menjadi jurutera kanan pada masa hadapan selain mengembangkan perniagaan sedia ada.
“Saya juga berterima kasih kepada Unimap kerana memberi peluang kepada saya menyambung pelajaran dan menimba pelbagai pengalaman bermakna sepanjang empat tahun belajar di institusi pengajian tinggi ini,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.
Seramai 362 graduan daripada program doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda menerima skrol masing-masing dalam sidang pertama istiadat konvokesyen pada hari pertama ini. – UTUSAN











