SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sebanyak 56 kerusi akan dipertandingkan dan seramai 2.58 juta pengundi dijangka mengundi termasuk 749,731 pengundi baharu berusia 18 tahun hasil pelaksanaan pendaftaran automatik Undi18.
Kali ini, pengundi Cina merupakan fokus para pemerhati dan penganalisis politik. Adakah mereka akan keluar mengundi secara beramai-ramai seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)? Adakah mereka masih setia menyokong Pakatan Harapan (PH) seperti dalam PRU14?
Berdasarkan analisis, hampir 95 peratus pengundi Cina mengundi PH pada PRU14, seterusnya mencipta perubahan besar dalam landskap politik tanah air. PH menang 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan DAP 14 kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lapan kerusi dan PKR lima kerusi.
Namun, selepas 22 bulan memerintah, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor bertukar tangan ekoran berlakunya perpecahan dalam kerajaan PH.
Mengikut penganalisis politik, Dr. Tee Beng Lee, penduduk Cina di Johor agak ramai maka ia berupaya mempengaruhi keputusan PRN. Daripada 56 kerusi dipertandingkan, terdapat 36 kerusi mempunyai pengundi Cina melebihi 30 peratus.
Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, walaupun pengundi Cina kurang daripada separuh, ia mampu mempengaruhi sesuatu kemenangan. Bagaimanapun, jika Covid-19 berlarutan, 300,000 pengundi yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang mengundi, maka peluang PH untuk merampas semula kuasa DUN Johor adalah tipis.
Namun begitu, selepas menyaksikan sandiwara politik 509 (tarikh PRU14, 9 Mei 2018), kaum Cina secara umumnya berasa amat kecewa dengan politik kucar-kacir, janji PRU14 yang gagal ditunaikan serta tekanan ekonomi yang terus membelenggu rakyat. Tambahan lagi, Covid-19 telah memudaratkan kehidupan dan kesejahteraan semua rakyat.
Dasar-dasar pemerintah dahulu didapati kurang inklusif dan mengecewakan masyarakat Cina. Wakil-wakil politik keturunan Cina dalam Barisan Nasional (BN) ditolak oleh pengundi Cina kerana mereka gagal menyampaikan suara kaum itu.
Pengundi Cina sering kali dilihat melepaskan ketidakpuasan hati atau kemarahan mereka terhadap pemerintah melalui undi dalam tangan. Trend mengundi seperti ini berlanjutan bertahun-tahun dan seterusnya mengukuhkan kedudukan parti pembangkang khususnya DAP di kawasan-kawasan yang pengundinya majoriti Cina. DAP amat cerdik dalam memancing undi masyarakat Cina dengan pelbagai strategi politik yang berkesan dan menyebabkan BN hilang sokongan serta tumbang dalam PRU14.
DILEMA
Pengundi Cina masih dalam dilema. Mereka sedar, mereka tidak mampu mengubah realiti politik Malaysia dan lebih mengecewakan apabila kerajaan PH dahulu gagal menunaikan janji membuatkan mereka hilang semangat dan kepercayaan.
Kaum Cina perlu yakin, undi mereka amat bernilai dan berupaya menentukan kesejahteraan dan kemakmuran negara. Rebutlah peluang ini. Pilihlah calon yang betul-betul ada sifat keprihatinan. Dalam era digital sekarang, pengundi yang bijaksana boleh sentiasa memantau kecekapan dan kejujuran wakil rakyat mereka.
Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhujah bahawa BN mesti kembali kepada formula perkongsian kuasa yang tulen dan tidak hanya melantik wakil bukan Melayu dalam kerajaan. Beliau menyeru rakan kongsi UMNO dalam BN agar berusaha kuat untuk mendapatkan semula sokongan bukan Melayu dan tidak bergantung kepada UMNO semata-mata.
Dalam sejarah politik Malaysia, pengundi Cina pernah menyokong BN secara total dan saya yakin mereka masih menaruh harapan tinggi selagi suara mereka didengar pemimpin BN. Pengundi Cina sekarang lebih terbuka dan bersedia menerima wakil rakyat yang sanggup berbakti kepada rakyat. Warna kulit, etnik dan latar belakang tidak lagi menjadi isu.
Persaingan PRN Johor kali ini dijangka sengit dengan kemunculan beberapa pesaing baharu seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan (Warisan). Buat masa ini, sukar untuk meramalkan kemenangan parti-parti ini.
Tidak kira siapa menang di PRN Johor nanti, kita mohon agar semua proses berjalan lancar. Semua yang terlibat perlu akur dengan peraturan pilihan raya dan amalan demokrasi yang dijunjung. Pihak yang menang jangan ghairah dan angkuh, yang kalah jangan berputus asa. Marilah kita sama-sama berjuang untuk menegakkan politik demokratik demi kesejahteraan generasi akan datang. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar sarjana media dan komunikasi di Universiti Malaya.










