Ruhainies proaktif bina nama

Ruhainies proaktif bina nama

Ruhainies bersyukur dengan rezeki dimiliki sepanjang tujuh tahun bergelumang dalam dunia seni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSONALITI ini senang didekati dan peramah, itulah pelakon genit, Ruhainies. Mungkin kerana itu jugalah mengapa produksi dan pemain industri berasa senang selalu menawarkan lakonan kepadanya.

Tujuh tahun mencanai bakat dalam arena hiburan, terutamanya sebagai pelakon. Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 29, sentiasa menonjolkan prestasi cemerlang.

“Sepanjang tempoh tujuh tahun ini, Alhamdulillah. Rezeki tidak pernah putus. Bagi saya jangan cepat berputus asa. Pada masa sama kena jaga disiplin diri.

“Seseorang pelakon itu haruslah juga berfikiran di luar kotak. Fikir untuk bagaimana untuk menjadikan diri kita ini ada tambah nilai berbanding pelakon lain.

“Bukan dalam bidang lakonan sahaja. Hal itu, termasuklah bagaimana hendak bergelar seorang duta kepada sesuatu produk atau pun perkhidmatan,” ujarnya.

Mengimbas detik di kala sektor industri direhatkan seketika. Ruhainies sama seperti mana pelakon, kru dan produksi terkesan daripada ‘tempoh bertenang’ bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Dos penggalak

Begitu pun, pelakon Cukup Derita Itu menarik nafas lega kerana segalanya sudah dibenarkan.

“Alhamdullilah, saya rasa bersyukur dan lega sebab akhirnya industri seni sudah boleh menjalankan aktiviti penggambaran.

“Harapan saya semoga berterusan tanpa ada Perintah Kawalan Pergerakan. Tidak dinafikan, saya mengalami fasa gelisah tetapi tidak kritikal, cuma perasaan itu ada.

“Walau bagaimanapun, segalanya sudah menjadi norma baharu. Tambah pula sudah mendapatkan dos vaksinasi dan dos penggalak,” ujarnya.

Pada sama, aktres jelita itu berharap khalayak dan kru poduksi terus mengamalkan SOP penjarakan dan sanitasi serta membuat ujian calitan bagi memastikan diri dalam keadaan sihat dan bersih.

“Nak mencegah ini kena hati-hati. Kalau tidak kerana Covid-19 pun kita perlu sentiasa berwaspada dengan individu yang tidak sihat, kuman juga merebak bukan?,” tuturnya.

Sebagai informasi, Ruhainies mula dikenali ramai menerusi drama Hello, Mr. Perfect! yang mana beliau memegang dua watak, sebagai Alya Adriana dan Nurul Ain. Selain itu, Ruhainies juga merupakan duta kepada produk jenama Ruza dan Ruhainies Rosy Secret. Beliau juga ialah adik kepada pelakon Risteena Munim.

Abai mulut orang

Mengulas lebih lanjut berhubung bila mana artis kurang berlakon dan terjun ke bidang lain, kongsi pelakon itu, dia tidak ambil pusing dan percaya pada kebolehan diri sendiri.

“Kita perlu fikir diri sendiri, jangan fikir mulut orang. Ini bukannya soal merendahkan martabat sebagai pelakon bila buat bisnes.

“Bisnes dan lakonan dua dunia berbeza. Kita ada kelebihan diri sendiri yang belum diterokai lagi,” katanya.

Dalam pada masa sama, ujarnya ramai pelakon yang ada pakej dari segi rupa dan bakat lakonan. Tetapi dia percaya kelebihan diri sendiri membezakan seseorang.

“Paling penting sebagai pelakon ialah perilaku. Saya perasan, ramai yang ambil ringan dengan bab itu.

“Dunia glamor memanglah bila sudah masuk rasa selamat sebab sudah dikenali. Bahkan, tawaran kerja pun seiring. Pucuk pangkalnya adalah disiplin diri itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×