MELAKA: Banyak pihak mempersoal mengapa Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) di Bukit Baru dekat sini, tidak ditutup buat sementara. Ini ekoran 47 daripada 324 peserta Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa Kastam (Kusas) WK19 disahkan positif Covid-19, sejak Sabtu lalu.
Turut disahkan positif wabak tersebut ialah 14 kakitangan di akademi berkenaan, malah ia turut menular kepada keluarga salah seorang daripada mereka.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, meskipun 62 individu setakat Khamis lalu disahkan positif Covid-19, operasi akademi masih berjalan seperti biasa.
Terdahulu, satu memorandum dikeluarkan pihak pengurusan mengarahkan kakitangan bertugas seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus secara bergilir-gilir sehingga 28 Februari ini.
Turut difahamkan, Kementerian Kesihatan telah menasihatkan supaya ia ditutup, namun perkara tersebut tidak diendahkan.
Sumber berkata, situasi tersebut kian meresahkan kakitangan yang bertugas termasuk peserta Kusas yang mula melapor diri sejak 7 Februari lalu.
Ujarnya, sejak melapor diri, peserta belum menjalani sebarang kursus kerana ditangguh ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan mereka.
“Kakitangan berharap Akmal dapat ditutup sementara waktu kerana mereka semua berasa tidak selamat apabila 11 kakitangan yang bertugas disahkan positif Sabtu lalu.
“Kalau boleh akademi ini ditutup untuk dijadikan pusat kuarantin bagi mereka yang positif. Ini sudah bercampur-campur antara mereka yang positif dan tidak dijangkiti wabak berada di akademi ini,” jelasnya. – UTUSAN










