Calon sesuai faktor kemenangan

Calon sesuai faktor kemenangan

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Faktor calon yang sesuai di sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi penentu kepada kemenangan parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim berkata, walaupun sejarah pentadbiran sesebuah parti turut mempengaruhi kemenangan tetapi faktor calon adalah lebih utama.

Katanya, semua berpeluang untuk menang tambahan pula dengan kehadiran lebih 700,000 pengundi baharu yang akan mengubah majoriti kemenangan di sesuatu kerusi sekiranya kesemua mereka keluar menunaikan tanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua parti ada peluang, yang membezakan adalah peluang itu besar atau kecil. Jika dilihat Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang agak besar berdasarkan rekod atau sejarah pentadbiran yang panjang.

“Malah, pembangkang juga memiliki sejarah 22 bulan mereka semasa menjadi kerajaan, maka perkara ini akan dinilai oleh rakyat selain faktor calon yang sesuai juga bakal menentukan kemenangan masing-masing.

“Sekiranya parti itu kuat macam mana sekali pun tetapi jika meletakkan calon yang salah dan tidak diterima masyarakat ia akan menyukarkan peluang untuk menang kerana penentuannya adalah undi yang dipangkah daripada rakyat,” katanya.

Beliau mengulas keha­diran banyak parti yang sudah mengesahkan penyertaan pada PRN Johor dengan terbaharu Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebelum ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut mengumumkan penglibatan mereka bagi me­rebut kekosongan 56 kerusi DUN susulan pembubaran yang berlaku pada 22 Januari lalu.

Pengesahan parti-parti ter­babit sekali gus kini menjadikan tidak kurang pertembu­ngan lima penjuru akan berlaku di beberapa tempat melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) bersama Muda, Pejuang dan Warisan yang turut membayangkan akan bertanding solo.

Sementara itu, Ku Hasnan berkata, calon muka baharu mungkin antara yang cuba diketengahkan parti-parti bertan­ding berdasarkan faktor kedinamikan politik ketika ini, namun langkah itu mungkin tidak bersesuaian di semua kawasan.

“Masih perlu bariskan calon-calon yang ada pengalaman di sesetengah kawasan, tetapi bukan bermaksud mereka yang menyandang jawatan wakil rakyat sehingga berpenggal-penggal perlu dikekalkan tetapi pengalaman calon bersama masyarakat perlu diambil kira.

“Ini kerana mereka kelak yang akan bekerja untuk rakyat yang dipilih, jadi sudah tentu pengalaman menguruskan isu-isu atau masalah setempat menjadi nilai tambah dalam menentukan calon yang bersesuaian,” katanya.

Setakat ini, PH bersama Muda sudah mengumumkan calon mereka di 19 kerusi DUN dengan lebih separuh adalah muka baharu termasuk mereka yang ditampilkan semula selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd. Aziz, 27, menjadi calon termuda yang diumumkan bertanding buat masa ini sementara calon PKR kerusi DUN Sri Medan, Azmi Masrani menjadi calon paling berusia iaitu 68 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN