PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) meletakkan keutamaan calon-calon bukan daripada pemimpin ‘kluster kayangan’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, latar belakang mereka akan menjadi kriteria dalam pemilihan tersebut.
Katanya, ini bagi memastikan yang dipilih adalah individu mesra rakyat sama ada sebagai ahli politik, ahli majlis atau terlibat dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ini kerana selain pendidikan, cara pergaulan, kepemimpinan dan boleh bergaul dengan semua peringkat, kita tak mahu pemimpin kluster kayangan yang tidak boleh duduk bersama rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
PH sebelum ini mengambil langkah berani mengumumkan calon-calon pilihan raya negeri itu lebih awal dan secara berperingkat berbanding parti-parti lain bermula dengan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, 4 Februari lalu.
Menurut Aminolhuda, selain itu, pemilihan calon juga dibuat melalui kawasan.
“Kawasan akan berikan nama sekurang-kurangnya dua orang dan (pimpinan) negeri ada hak untuk beri satu nama sekiranya kita melihat bahawa kepentingan jika tertubuhnya kerajaaan, maka kita perlukan pemimpin wibawa berketerampilan menjadi pemimpin terbaik untuk kawasan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, parti itu lebih menumpukan untuk membawa calon yang kurang kecenderungannya kepada pecah amanah dan salah laku rasuah.
Katanya, ini berikutan pihaknya serius untuk memastikan calon mereka menjalani ujian psikometrik bagi menunjukkan kesungguhan untuk menampilkan calon terbaik dan berintegriti.
“Kami memang serius nak pastikan calon-calon kami sikapnya tidak cenderung kepada salah laku rasuah dan pecah amanah kerana bagi Pejuang sememangnya rasuah dan salah guna kuasa punca negara rosak, jadi kami pastikan calon kami yang terbaik
“Kami juga ramai ahli yang bukan dari parti lain, tetapi dari golongan profesional, (jadi Pejuang akan) penuhkan muka-muka profesional yang berpengalaman, bidang korporat dan dalam masa sama memberi ruang kepada anak muda serta wanita,” katanya. – UTUSAN











