KOTA BHARU 29 Julai – Pergerakan Puteri UMNO negeri tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini melibatkan seramai 30 ahli Pergerakan Puteri UMNO dari lapan bahagian iaitu Ketereh, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Bachok, Tumpat, Tanah Merah dan Machang.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO negeri, Marzuani Ardila Ariffin berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serius terhadap individu berkenaan yang telah menyentuh sensitiviti umat Islam.
Menurutnya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Sepatutnya kita perlu saling hormat-menghormti sesama kita dan tidak menimbulkan isu yang berbaur perkauman.
“Oleh itu, kita minta pihak berkuasa terus membuat siasatan terperinci selain menyekat akaun Facebook Wendy Loong,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Kota Bharu di sini hari ini.
Marzuani Ardila berkata, pihaknya melihat perkara ini seolah-olah sengaja dirancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakannya ini seperti sengaja untuk memecahbelahkan perpaduan sedia ada di negara kita selain menimbulkan rasa marah orang Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











