KUALA LUMPUR 29 Julai – Gabungan Parti Sarawak (GPS) didakwa lebih baik daripada DAP yang merupakan parti dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Pas Sarawak, Zharudin Narudin berkata, perkara itu jelas apabila DAP dan PH yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu gagal memenuhi harapan rakyat dan janji manifesto.
“Dahulu DAP mempunyai projek ‘Impian Sarawak’, kini sudah menjadi kerajaan namun rakyat di pedalaman Sarawak sudah tidak lagi dipedulikan.
“Kerajaan Pusat melalui Menteri Kewangan yang juga daripada DAP juga tidak bersetuju pelaksanaan cukai jualan barangan petroleum lima peratus sedangkan cukai itu penting untuk rakyat Sarawak,” katanya memetik laporan Harakah Daily, hari ini.
Kelmarin, Pengerusi PH Sarawak yang juga Pengerusi DAP negeri tersebut, Chong Chieng Jen berkata, gabungan PAS-UMNO merupakan ancaman kepada kerajaan PH dan terdapat anggota ketiga yang bersembunyi di sebalik ‘gabungan kotor’ itu.
Mengulas lanjut, Zharudin berkata, DAP telah ketandusan isu untuk diperjuangkan, hingga sanggup mengadu domba kerjasama PAS-UMNO demi kepentingan politik mereka.
“Kerjasama PAS-UMNO tidak akan wujud di Sarawak kerana asasnya tiada kewujudan UMNO di Sarawak.
“Rakyat Sarawak seharusnya bimbang kerana semakin lama PH berkuasa lebih teruk nasib rakyat negeri ini tidak terbela,” katanya. – UTUSAN ONLINE











