Peragut cedera dilanggar kereta - Utusan Malaysia

Peragut cedera dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Seorang peragut cedera akibat dilanggar sebuah kereta ketika melarikan diri selepas meragut seorang gadis berusia 19 tahun di Jalan Aston, Bukit Mertajam di sini malam tadi.

Suspek lelaki berusia 39 tahun tersebut menyerang mangsa ketika dia sedang berjalan kaki bersendirian untuk membeli makanan di kawasan itu kira-kira pukul 9.10 malam.

Ketika kejadian, mangsa membawa beg tangan yang di dalamnya mengandungi wang tunai kira-kira RM50 dan telefon bimbit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa telah berjalan melalui tempat lelaki itu berbaring di kaki lima sebuah kedai kopi sebelum suspek bingkas bangun.

“Suspek kemudiannya memaut leher mangsa menggunakan tangan kiri, manakala tangan kananya pula menarik beg tangan mangsa yang diletakkan pada bahu kanan. 

“Mangsa telah menjerit meminta tolong ketika lelaki tersebut melarikan diri sebelum orang ramai yang berada di kawasan berdekatan cuba mengejarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa telah melihat suspek mencampakkan begnya itu di kawasan berdekatan sebelum dia pergi ke tempat tersebut bagi mengambilnya semula.

“Namun, kira-kira lima minit kemudian gadis itu dimaklumkan oleh orang ramai bahawa suspek telah dilanggar kereta sewaktu dia melarikan diri dengan melintas jalan.

“Akibat kejadian itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan ringan dan ditahan di wad Hospital Bukit Mertajam bagi rawaran,” katanya lagi.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 329 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini