JOHOR BAHRU 29 Julai – Kolej Vokasional Tanjung Puteri (KVTP) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Nota Persefahaman (NoU) dengan 12 pihak industri di negeri ini.
MoU dan NoU tersebut termasuk penyerahan sumbangan alat bantuan mengajar disempurnakan di Alamanda Hall, Savannah Hill Resort, Kampung Sungai Tiram di sini sebentar tadi.
Perjanjian dan persefahaman itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan, Zainuren Mohd. Nor serta Pengarah KVTP, Omar Hassan.

MoU dan NoU tersebut melibatkan 138 pelajar Tahun 2 Diploma KVTP untuk menjalani latihan industri melibatkan lima program vokasional dalam bidang teknologi elektronik, elektrik, pembinaan, automotif dan kimpalan.
Selain itu, dalam majlis tersebut, pihak KVTP menerima dua buah kenderaan jenama Mazda dan Transformers daripada Syarikat Mazda Malaysia Sdn. Bhd. Dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sumbangan tersebut bagi kegunaan di bengkel bagi pengajaran dan pembelajaran amali untuk Program Teknologi Automotif dan Program Teknologi Elektrik. – UTUSAN ONLINE











