[VIDEO] Kes tetak veteran UMNO: Guru al-Quran selamatkan Kamarudin - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kes tetak veteran UMNO: Guru al-Quran selamatkan Kamarudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 29 Julai – Timbalan Pengerusi Veteran UMNO negeri, Datuk Kamarudin Abdullah yang parah akibat ditetak malam tadi, diselamatkan hasil tindakan pantas seorang lelaki yang membawanya ke hospital sebaik sahaja menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Lelaki terbabit yang merupakan guru al-Quran dan hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, berkata, kejadian berlaku sebaik dia keluar dari kedai kopi dan sedang berjalan kaki menuju ke Masjid Muhammad untuk solat Maghrib.

“Sejurus keluar dari kedai, saya lihat dia sudah rebah berhampiran keretanya dan meminta pertolongan untuk dibawa ke hospital dalam keadaan berlumuran darah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya segera meminta bantuan seorang rakan yang mempunyai kereta untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala saya mengekori dari belakang,” katanya ketika ditemui di hospital tersebut, di sini hari ini.

Kes tetak veteran UMNO
AHMAD (kiri) ketika ditemuramah oleh pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu di sini hari ini. UTUSAN ONLINE/Zulhanifa Sidek

Katanya, ketika kejadian dua suspek yang memakai topi keledar masih berada di situ dan sempat menunjukkan senjata tumpul ke arahnya sebelum beredar.

Sementara itu, pemilik kedai kopi yang enggan dikenali berusia 52 tahun pula memberitahu, ketika kejadian dia berada di dapur untuk menyediakan minuman kepada pelanggan.

“Secara tiba-tiba saya terdengar teriakan seseorang di hadapan kedai dan menyangka mungkin itu orang kurang siuman. Rupanya ada orang kena tetak,” katanya.

Dalam kejadian pukul 7.45 malam tadi, Kamarudin cedera parah ditetak dan dikelar dua lelaki bermotosikal bersenjatakan parang di Jalan Tengku Chik di sini.

Ketika itu, mangsa baru keluar dari kedai makan dan dikatakan berjalan seorang diri untuk ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib.

Sementara itu, anak sulung Kamarudin yang enggan dikenali berusia 40-an berkata, keadaan bapanya kini stabil walaupun mengalami kecederaan di rusuk kanan, belakang dan kepala dipercayai dilibas dengan senjata.

“Kami lega ayah stabil, namun dia akan dimasukkan ke Wad Pembedahan HRPZ II untuk pemeriksaan lanjut di bahagian yang luka ditetak,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Sasatan masih dijalankan dan punca kejadian belum dikenal pasti. Pihak polis meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini