KUALA LUMPUR 29 Julai – Pas setuju Akta Kredit Pengguna digubal bagi mengawal selia kepentingan pengguna khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rangka kerja pengawasan kredit perlu diurus secara sistematik dan lebih berkesan dengan mengambil kira semua faktor kritikal.
Kata beliau, hal ini terutamanya yang melibatkan literasi kewangan, pengunderaitan institusi kewangan bukan bank (IKBB), penilaian nisbah khidmat hutang (DSR) dan perlindungan data peribadi.
“Saya tertarik dengan maklumat mengenai hutang isi rumah yang telah disentuh oleh Perdana Menteri, minggu lalu mengenai tahap hutang isi rumah dalam kalangan para penjawat awam yang mencakupi satu per lima daripada hutang isi rumah.
“Saya bersetuju secara prinsip untuk menggubal Akta Kredit Pengguna bagi mengawal selia kepentingan pengguna khususnya penjawat awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 23 Julai lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menyegerakan penggubalan Akta Kredit Pengguna bagi melindungi kepentingan pengguna, dan menggalakkan pasaran kredit yang sihat. – UTUSAN ONLINE











