MELAKA 25 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan mengadakan lelongan awam 87 kenderaan pelbagai jenis pada 15 Ogos depan di JPJ Melaka, Bukit Katil di sini.
Pengarahnya, Muhammad Firdaus Sharif berkata, lelongan tersebut membabitkan 84 buah kereta termasuk kereta mewah, dua buah van dan sebuah lori dengan nilai permulaan serendah RM300.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 81 kenderaan boleh dilesenkan manakala baki enam kenderaan lagi dikategorikan sebagai ‘scrap’ dan tidak boleh dilesenkan.
“Harga rizab (permulaan) paling rendah bagi kenderaan ‘scrap’ ialah RM300 iaitu sebuah Perodua Kancil manakala harga paling tinggi bagi kategori sama ialah RM12,000 (Honda Odyssey).
“Bagi kenderaan yang boleh dilesenkan pula, harga rizab paling rendah ialah RM4,500 (Proton Saga) dan harga paling tinggi bermula RM19,500 (Honda Accord),” katanya ketika ditemui pemberita ketika sidang akhbar Pelelongan Awam Bil. 1/2019 JPJ Melaka, di sini hari ini.
Jelas Muhammad Firdaus, 79 daripada kesemua kenderaan yang dilelong itu merupakan kenderaan klon namun 77 daripadanya telah didaftarkan di negara ini dan boleh dilesenkan.
“Hanya dua daripada kenderaan klon ini dikategorikan ‘scrap’ kerana tidak menepati piawaian yang ditetapkan pihak JPJ.
“Bagi kenderaan ‘scrap’, ia masih boleh dilelong terutamanya kepada pemilik kedai alat ganti kenderaan dengan syarat kenderaan itu perlu dileraikan terlebih dahulu di JPJ Melaka sebelum dibawa keluar,” tambahnya.
Sementara itu tambah beliau, JPJ Melaka berjaya merampas sebanyak 16 buah kenderaan klon di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Bagi tahun ini pula sehingga Jun lepas, JPJ Melaka telah merampas sebanyak sembilan buah kenderaan klon yang didapati tidak sah untuk digunakan di negara ini,” katanya.











