Tapak riadah mangsa kilang haram - Utusan Malaysia

Tapak riadah mangsa kilang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Kewujudan sebuah kilang kitar semula yang dipercayai beroperasi secara haram di Taman Sri Rampai, Setapak di sini mencetuskan tanda tanya dan rasa tidak puas hati penduduk.

Operasi kilang di atas tanah milik kerajaan itu disyaki didalangi pihak berkepentingan kerana tapak berkenaan sebelum ini dijanjikan untuk pembinaan trek jogging awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dakwa penduduk, tanah milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) itu diceroboh kira-kira dua tahun lalu oleh syarikat berkenaan selepas kawasan itu yang pada asalnya hutan dan semak-samun itu ditarah menjadi sebuah ‘perkampungan’ kitar semula yang beroperasi secara haram.

Ujar beberapa penduduk yang ditemui Utusan Malaysia, kawasan berkenaan bukan sahaja dijadikan tempat kitar semula malah terdapat sebuah kilang simen, kedai alatan perkakasan (hardware), tempat pembuangan sampah haram dan penempatan jentera berat dalam jarak kira-kira 50 meter dari perumahan berhampiran.

SALAH satu premis kitar semula yang dipercayai di dirikan secara haram di atas tanah lot di Taman Sr
SALAH satu premis kitar semula yang dipercayai di dirikan secara haram di atas tanah lot di Taman Sri Rampai, Setapak disini. Penduduk mempersoalkan pengoperasian tapak kitar semula itu dan sebuah Kilang Simen berhampiran rumah mereka kerana mengganggu tahap kebersihan seperti debu dan menjadi punca pembiakan nyamuk, tikus serta anjing-anjing liar kerana dipenuhi sampah dan semak. – UTUSAN ONLINE/ DJOHAN SHAHRIN SHAH 

Penduduk memberitahu, pembinaan kilang-kilang haram itu juga mengundang pelbagai masalah antaranya pencemaran, bau, udara dan bunyi kerana kilang simen itu beroperasi sehingga lewat malam dengan lori keluar masuk sehingga mereka tidak dapat tidur nyenyak.

Lebih membimbangkan, lokasi berkenaan dikhuatiri menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, tikus, lipas dan kawasan anjing liar berkeliaran.

Tidak tahan dengan keadaan itu, penduduk telah membuat aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan DBKL telah mengambil tindakan meroboh dua premis berkenaan namun mereka kembali beroperasi sehingga hari ini.

Penduduk berkata, isu ini telah mendapat campur tangan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta beberapa pihak lain namun masih tiada tindakan tegas diambil.

PENGUTIP barang lusuh membawa hasil barangan untuk dijual ke premis kitar semula yang dipercayai di
PENGUTIP barang lusuh membawa hasil barangan untuk dijual ke premis kitar semula yang dipercayai di dirikan secara haram di Taman Sri Rampai, Setapak disini. Penduduk mempersoalkan pengoperasian tapak kitar semula itu dan sebuah Kilang Simen berhampiran rumah mereka kerana mengganggu tahap kebersihan seperti debu dan menjadi punca pembiakan nyamuk, tikus serta anjing-anjing liar kerana dipenuhi sampah dan semak. – UTUSAN ONLINE/ DJOHAN SHAHRIN SHAH

Bagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 44, memberitahu, selepas aduan dibuat dan tindakan yang diambil oleh DBKL terhadap premis tersebut, keselamatan penduduk terancam apabila diganggu beberapa individu yang dipercayai ‘menjaga’ kawasan itu.

“Yang menjadi persoalannya, siapa dalang pihak berkuasa yang sanggup membiarkan kilang haram beroperasi di kawasan ini?,’’ ujarnya.

Jelas penduduk, mereka agak kesal apabila pembinaan trek joging yang dijanjikan itu tidak diteruskan seperti dijanjikan kerana kawasan itu mempunyai panorama berlatarbelakang Menara Berkembar Petronas yang pasti menjadi salah satu tarikan pengunjung kelak.

Tapak itu dikelilingi penduduk yang padat kerana terdapat kawasan perumahan teres, elit, rumah program perumahan rakyat (PPR), rumah pangsa DBKL dan kondominium sedang dalam pembinaan serta deretan kedai, bengkel kereta, medan selera dan tasik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini