KUALA LUMPUR 29 Julai – Peluang petanque untuk ke Sukan SEA 2019 berdepan dilema besar apabila tidak dibenarkan masuk ke mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria hari ini.
Ia berikutan kemelut yang melanda Persekutuan Petanque Malaysia (MPF) yang telah digantung keahliannya oleh badan induk dunia sukan itu.
Tindakan jawatankuasa pemilihan Sukan SEA enggan berjumpa wakil petanque yang hadir ini merupakan satu tamparan hebat kepada persiapan mereka sekaligus menimbulkan persoalan apakah Malaysia tidak akan menghantar pasukan petanque ke temasya dwi tahunan di Filipina itu.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Muhammad Nazifuddin Najib ketika ditemui mengesahkan jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2019 telah mengarahkan wakil petanque pulang kerana sedang berdepan masalah pengiktirafan.
“Jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2019 hari ini enggan bertemu wakil petanque kerana tidak mahu menimbulkan masalah lebih besar.
“Tetapi kita akan mengaturkan satu pertemuan lain secara berasingan untuk mencari jalan penyelesaian supaya atlet tidak menjadi mangsa dan kita masih boleh menghantar pasukan ke Sukan SEA,” katanya selepas mesyuarat berhenti rehat.
Sehubungan itu katanya, langkah segera akan diambil termasuk kemungkinan meletakkan petanque di bawah satu badan berkecuali.
“Kita akan tetap berusaha sebaik mungkin untuk menghantar petanque ke Filipina dan pilihan yang kita ada ialah meletakkan sukan itu di bawah MOM sebagai sukan bebas,” tambahnya.
MPF kini digantung badan induk dunia kerana isu kewangan dan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan ketika menyertai pertandingan antarabangsa.-UTUSAN ONLINE











