Soalan sukar yang anda tidak berani suarakan kuat-kuat! - Utusan Malaysia

Soalan sukar yang anda tidak berani suarakan kuat-kuat!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIKUTI isu-isu semasa negara, pasti anda ada pendapat peribadi. Ada yang suarakan dalam Facebook. Ada yang guna Twitter. Yang muda ramai guna Instagram. Ada yang terang-terang mencemuh. Ada yang berdiplomasi. Ada yang sekadar bertanya di dalam hati.

Jadi berikut diperturunkan mengikut kaedah Merrepak, sebahagian isu-isu semasa negara yang sudah anda fikirkan mengapa, kenapa, bagaimana, habis macam mana atau habis sudahlah.

Soalan-soalan yang dikemukakan ini tidak semestinya mematuhi standard Sirim, atau mengikut lunas Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak juga seiring dengan konvensyen mana-mana parti politik atau disenangi anda sebagai penegak hak asasi manusia. Ok, bersedia?

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut adalah soalan-soalan yang terfikir di minda tetapi tidak berani anda suarakan secara verbal atau bercetak:

Video gay

  • Pihak berkuasa dapat menangkap lapan suspek perompak sebuah kediaman yang rakaman CCTV tersebar meluas. Tiga lelaki berparang di dalam video memakai topeng. Pantas polis tahan mereka. Syabas. Inilah tahap kecekapan yang kita harapkan. Tetapi di dalam kes video gay, kenapa susah sangat hendak cam pelakunya?
  • Datuk Seri Azmin Ali kata dia tahu siapa dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video gay. Polis pun kata dah tahu. Tapi tak seorang pun mahu beritahu kita siapa dalang.
  • Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah nyatakan pendiriannya mengenai video gay tersebut. Beliau anggap ia bukan soal moral tetapi politik. Tetapi oleh kerana ini bukan pertama kali tuduhan gay dilemparkan dalam dunia politik Malaysia, kenapa dulu ia dilabel soal moral, sekarang tidak? Pening.

Toksik

  • Pencemaran udara di Pasir Gudang bukan isu terpencil, apa lagi isu nun jauh di negara orang. Kenapa, mengapa dan bagaimana ia boleh berulang lagi sedangkan semua kata sudah bersih? Ada yang kata, muka bumi Pasir Gudang itu sendiri sudah terlalu tercemar untuk benar-benar selamat kepada manusia. Apa sebenarnya?

Undi18

  • Undang-undang membenarkan remaja berusia 18 tahun automatik sebagai pengundi dan boleh menjadi calon pilihan raya, direalisasikan dengan sokongan dua per tiga Parlimen. Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang tahu, usia mentah itulah peringkat yang mana manusia menelan apa sahaja pengaruh. Siapa yang menguasai media sosial, atau mahir bersilat di alam maya, akan menang. Betul?
  • Ahli politik berusia 18 tahun, bayangkan ada menteri semuda itu mewakili anda di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Orang belum matang, makan minum ditanggung ibu bapa, tidak merasa pahit getir susahnya menimba ilmu di kolej atau kesulitan mencari kerja, terus dapat kuasa, bergaji puluhan ribu hendak menentu hala tuju orang lebih tua daripadanya. Sanggupkah?

Kebebasan media

  •  Ada satu entiti ini pantang nampak pelik sikit cara ia dilaporkan dalam media massa, terus memanggil wartawan menghadap, diambil keterangan. Jelas ini adalah taktik menakut-nakutkan wartawan sedang dilaksanakan. Mereka mahu wartawan tulis yang molek-molek sahaja ya. Apakah ini keputusan amalan yang diluluskan oleh ketua entiti atau suatu obsesi pegawai bawahannya demi menjaga imej ketuanya itu?
  • Mungkin entiti ini tidak memahami makna kebebasan akhbar yang sedang ditegakkan oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Jika berterusan memanggil dan menekan wartawan, kita akan buat aduan rasmi kepada pihak berkuasa mengenai amalan entiti ini yang ganggu gugat tugas wartawan. Zaman sudah berubah, silalah berubah.

Axiata-Telenor

  •  Cadangan pencan­tuman 
Axiata, syarikat Malaysia dengan Telenor, syarikat Norway. Kenapa beria-ia hendak lepaskan aset negara kepada Norway, yang merupakan anggota Kesatuan Eropah paling lantang menentang minyak sawit kita? Kenapa pihak berkuasa minyak sawit tak dengar suara langsung dalam hal Norway ini?

Tiada air

  • Sehingga Julai ini, sudah dua kali Lembah Klang menghadapi masalah ketiadaan bekalan air yang berhari-hari lamanya. Paling terbaharu minggu lepas akibat tumpahnya minyak diesel ke Sungai Selangor. Kalau SPAN sudah berapi-api beri amaran agar pengurusan Air Selangor dirombak, rombak sahajalah. Rakyat tidak berapa peduli bab itu. Yang penting, masalah air tidak lagi menghantui jiwa raga. Cubalah angkat air daripada lori bekalan dan panjat tangga ke tingkat 10 rumah pangsa. Hentikan kesengsaraan rakyat ini.

Tabung Haji

  • Apakah Kementerian Kewangan menyuntik RM1.7 bilion setahun kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) untuk tempoh tujuh tahun? Daripada sumber manakah duit itu dijana oleh kementerian? Apakah daripada bajet tahunan kerajaan. Jika benar, apakah ia daripada hasil wang terkumpul, iaitu hasil-hasil kerajaan? Dalam erti kata lain, pembayar cukai iaitu rakyatlah yang membayar agar UJSB dapat menebus kembali Sukuk bernilai RM19.9 bilion.

Soalan tambahan: bukankah ini diistilahkan `bail out’?

MAS

  • Nampak bersungguh Malaysia Airlines hendak dijual. Katanya ada empat entiti sudah kemuka cadangan pengambilalihan. Dulu lantik dua mat salleh yang ada latar belakang industri penerbangan pun, MAS gagal dipulihkan. Maka tidak perlu layanlah cadangan entiti yang sama sekali tidak ada rekod dalam industri.
  • Kalau betul hendak selamatkan MAS, susun balik dasar penerbangan. Kira berapa banyak syarikat penerbangan tambang murah beroperasi di Malaysia. Selagi dasar langit terbuka diamalkan, buatlah apa sahaja, MAS takkan mampu terbang jauh sebab langit sudah sesak dengan syarikat tambang murah.

Khazanah

  • Penukaran Khazanah Nasional daripada di bawah Kementerian Kewangan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi orang biasa akan anggap itu sekadar perubahan birokrasi. Tetapi benarkah tidak berlaku konflik dari segi sempadan antara negara dan perniagaan?

Lantikan Politik

  • Kerajaan Barisan Nasional dulu memang lantik orang politik menduduki jawatan utama di semua agensi kerajaan, GLC dan GLIC. Itu kaedah penghargaan terhadap sokongan mereka kepada parti pemerintah. Dasar ini dicemuh oleh Pakatan Harapan dan menggariskan aspek ini sebagai antara teras utama reformasi mereka.

Sekarang apa cerita? Kalau hendak kata dipilih berdasarkan merit, banyak boleh dipertikai latar belakang individu dilantik itu. Bukankah senang akui saja itu kaedah penghargaan kepada sokongan mereka kepada parti pemerintah. – UTUSAN ONLINE

 

Merrepak 280719
 
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini