‘Pakcik Bawang’ popularkan Ikhram Juhari - Utusan Malaysia

‘Pakcik Bawang’ popularkan Ikhram Juhari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jarang kita lihat lelaki sado suka ‘membawang’ atau bergosip. Namun itulah watak Raf yang dibawakan oleh pelakon Ikhram Juhari, 27, dalam drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad.

Watak Raf atau ‘Pakcik Bawang’ yang dibawakan Ikhram cukup membuat ramai penonton terhibur. Apatah lagi watak Raf turut mengetengahkan cerita abang tiri yang jatuh cinta terhadap adik tirinya iaitu Nawal lakonan Uqasha Senrose.

“Alhamdulillah, saya akui watak Raf yang suka ‘membawang’ di pejabatnya sedikit sebanyak membuatkan orang ramai lebih mengenali saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin ramai yang tertarik dengan watak tersebut kerana jarang kita lihat lelaki yang kononnya gagah dan berketerampilan suka bergosip tentang hal orang lain.

 

“Hakikatnya memang ramai lelaki suka bergosip, cuma kurang dipaparkan dalam drama. Kalau di luar sana, ramai saja lelaki suka ambil tahu hal orang,” katanya berseloroh.

Walaupun masih baru dalam dunia lakonan, Ikhram meluahkan rasa bertuah apabila pelakon utama drama ini iaitu Kamal Adli dan Uqasha memberikan tunjuk ajar kepadanya.

“Seronok bekerjasama dengan mereka berdua. Cara mereka yang bersahaja, profesional dan suka memberi tunjuk ajar banyak membantu saya untuk membawa watak Raf dengan lebih baik,” ujarnya.

Klon Zul Ariffin Dan Salman Khan

Ikhram juga mengaku ramai yang menyamakan wajahnya seiras pelakon popular Zul Ariffin. Tidak kurang juga yang menggelarkannya Salman Khan Malaysia.

“Saya sedar ramai yang kaitkan saya dengan Zul Ariffin walaupun saya tidak beranggapan sebegitu. Bagi saya, Zul Ariffin jauh lebih baik dan mempunyai karakter tersendiri.

“Saya tidak kisah orang kaitkan saya mempunyai wajah seiras dia, namun kalau boleh saya tidak mahu popular kerana nama Zul Ariffin.

 

“Dia sudah lama dan banyak pengalaman dalam industri nak dibandingkan dengan saya masih baru. Biarlah saya dikenali kerana bakat serta usaha sendiri dan bukannya disebabkan orang lain,”katanya.

Ikhram juga seakan tidak percaya apabila ada cuba yang mengaitkannya dengan aktor Bollywood tersohor, Salman Khan.

“Nak tahu, saya rasa kecil sangat bila ada yang samakan saya dengan Salman Khan. Rasa nak gelak pun ada sebab kami tak sama langsung.

“Apa boleh buat, saya tak boleh halang kalau mereka mahu bandingkan wajah saya dengan Zul Ariffin dan Salman Khan. Bagi saya selagi tak melampaui batas, rasanya tak ada masalah. Sekurang-kurangnya mereka menyedari kehadiran saya dalam industri. Itu pun sudah cukup.

“Dulu Saya pernah dua kali berhenti berlakon kerana mempunyai masalah kewangan dan tiada gaji tetap. Iyalah, jadi pelakon bukannya selalu dapat tawaran sedangkan saya ada komitmen terhadap keluarga.

“Saya pernah kerja dalam sektor perbankan dan menolong emak jual mi kari. Saya seronok dengan pengalaman susah ini kerana ia mengajar saya erti pengorbanan,” ujarnya yang sebelum ini sudah banyak berlakon drama antaranya Saka Sister, Ku Kirim Cinta, Mimpi Sabrina dan Nita Buat Cempaka.

Dalam perkembangan lain, Ikhram bakal muncul dalam drama bersiri Diari Ratu dan Aku, Dia Dan Pinky Promise.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini