Permaisuri Johor lancar UTM-AirAsia Livery - Utusan Malaysia

Permaisuri Johor lancar UTM-AirAsia Livery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 16 Julai – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah melancarkan perasmian pesawat yang dipanggil UTM-AirAsia Livery dengan nombor pendaftaran 9M-AJE di Senai Business Aviation Terminal di sini.

Raja Zarith yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkenan melancarkannya semalam sekali gus menjadi satu sejarah apabila logo UTM yang menjadi kebanggaan seluruh warganya diletakkan pada badan sebuah pesawat syarikat penerbangan AirAsia.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Ahli Lembaga Pengarah UTM, Datuk Ismail Karim serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Memuatkan artikel berkaitan…

UTM-AirAsia Livery ini dilihat sebagai satu inisiatif penjenamaan UTM serta merupakan sebuah langkah berani universiti untuk menempa nama di persada dunia bagi menyokong agenda pengantarabangsaan.

Pelancaran UTM-AirAsia Livery tersebut turut menyokong Bidang Tumpuan Utama keenam dalam Pelan Global Universiti 2012-2020 Fasa III UTM iaitu Kesohoran Global dan Penjenamaan.

Tercapainya realiti UTM-AirAsiaLivery ini bertitik tolak daripada Raja Zarith Sofiah yang menjemput Tony menyampaikan sebuah Syarahan Perdana di UTM pada 18 September 2017.

Bagi memenuhi permintaan Permaisuri Johor itu, Tony mengumumkan persetujuan beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

DARI kiri Tony Fernandes, Raja Zarith Sofiah dan Wahid Omar melancarkan perasmian pesawat yang dipanggil UTM-AirAsia Livery dengan nombor pendaftaran 9M-AJE di Senai Business Aviation Terminal, Senai, Kulai, Johor, semalam.

Dari situ UTM melalui pakar-pakar Fakulti Alam Bina dan Ukurnya yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar diketuai Azari Mat Yasir memainkan peranan dalam mereka bentuk sehingga terhasilnya UTM-AirAsia Livery.

Pelancaran UTM-AirAsia Livery menjadikan semua warga UTM dan 180,000 alumni di seluruh dunia serta rakan strategiknya berasa bangga dan teruja apabila projek ini menjadi realiti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini