KOTA BHARU – Orang ramai berpeluang mencuba dan menikmati pelbagai juadah tradisi rakyat dari 10 negara di rantau Asia Tenggara, termasuk negeri ini melalui Festival ‘ASEAN Food & Heritage yang bakal berlangsung pada 22 hingga 31 Ogos depan.
Bertempat di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini, festival anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri itu dijangka menghimpunkan 100 kiosk yang menjual makanan dari negara-negara ASEAN.
Pengarah MOTAC negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud berkata, selain memperkenalkan juadah tradisi masyarakat Asia Tenggara, festival itu juga diharap dapat mengangkat dan memartabatkan makanan warisan negara, terutama dari negeri ini kepada pihak luar.
Festival itu, kata beliau, merupakan antara program promosi awal atau pengenalan kepada penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), tahun depan.
“Pengusaha atau penyedia makanan-makanan tersebut memang datang dari negara masing-masing dan mereka akan berkumpul di Kelantan sepanjang festival ini berlangsung.
“Perincian mengenai festival ini akan diumumkan dalam masa terdekat kerana gerak kerja penganjurannya baru dilancarkan dan terdapat beberapa aspek masih dalam proses perbincangan untuk dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Terdahulu, beliau melancarkan Gerak Kerja Festival ‘ASEAN Food & Heritage ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) 2019 yang turut mendapat kerjasama MOTAC Kelantan.
Yang turut hadir, Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim.
Aidil Afizie dalam pada itu berkata, MOTAC mengalu-alukan kesediaan mana-mana agensi, syarikat swasta atau pertubuhan yang ingin bekerjasama dengan pihaknya bagi memeriahkan lagi festival itu. – UTUSAN ONLINE











