ALOR SETAR – Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas selepas lebih enam bulan bercuti tidak sepatutnya dijadikan polemik khususnya dalam kalangan parti sendiri.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, jangan sesekali menimbulkan krisis dalaman yang boleh menghilangkan kepercayaan ketika rakyat kini sudah kembali menyokong UMNO.
Apa yang lebih penting kata Mohamad Fadzil, adalah parti perlu menumpukan kepada agenda penyatuan ummah bersama Pas dan seterusnya merangka strategi merampas kembali Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“UMNO perlu mengambil peluang di atas krisis dalaman PH (Pakatan Harapan) yang semakin meruncing ketika ini, bukannya kita bertelagah sesama sendiri hanya kerana tidak bersetuju dengan sesuatu tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman tersebut pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai Presiden parti itu.
Sementara itu, Mohamad Fadzil berkata, Pemuda UMNO negeri menghormati keputusan Ahmad Zahid untuk kembali bertugas.
“Kita berharap selepas ini akan ada satu semangat baharu yang lebih terbuka dengan meletakkan kepentingan parti berbanding kepentingan diri. Jangan sesekali kita menjadikan UMNO sebagai benteng untuk mempertahankan diri,” katanya.
Seterusnya Mohamad Fadzil menggesa Ahmad Zahid agar menegur segelintir pemimpin dalam kalangan pimpinan parti sendiri yang sengaja membuka aib serta kelemahan parti kepada orang ramai.- UTUSAN ONLINE











