GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini, menyambut baik tindakan tegas kerajaan negeri mengambil langkah segera menghentikan aktiviti perlombongan haram yang mencemarkan air sungai.
Rata-rata mereka berharap air sungai di kampung itu kembali ‘bersih’ selepas perlombongan bijih mangan di kawasan berhampiran dihentikan sejak 11 Jun lalu.
Penghulu Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok berkata, penduduk di perkampungan tersebut percaya aktiviti perlombongan bijih mangan selama ini mencemarkan air sungai sehingga memberikan kesan yang amat serius terhadap kesihatan mereka.
Berita berkaitan:
“Penduduk masih bimbang dengan pencemaran air sungai terbabit yang membawa jangkitan kuman kepada hampir seluruh keluarga di sini.
“Kami berasa lega apabila perlombongan bijih itu sudah diambil tindakan kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

Hari ini, akhbar melaporkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan aktiviti perlombongan yang beropersi tanpa kebenaran berhampiran Kampung Kuala Koh di sini bagiamanapun sudah disita pada 11 Jun lalu.
Perkara itu susulan syarikat terbabit tidak dibenarkan melombong sehingga mendapat skim kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Sementara itu, seorang penduduk, Inja Punai, 32, pula berkata, sudah lama mereka itu tidak senang dengan perlombongan bijih di situ.
Katanya, mereka mahu masalah itu dipantau setiap masa kerana bimbang selepas ia disita tetapi masih beroperasi secara haram seperti sebelum ini.
“Kita anggap isu perlombongan bijih yang membawa kepada pencemaran air sungai kampung berkenaan dipantau setiap masa bagi mengelak berlaku masalah itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











