SHAH ALAM – Padah kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk membuat persembahan, empat warga asing telah ditahan Jabatan Imigresen Selangor semalam.
Empat warga asing yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 petang pada satu program Geek Summit 2019 yang diadakan di Pusat Kovensyen Ideal, Seksyen 15, di sini.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi yang dijalankan itu menyasarkan penganjuran program antarabangsa permainan kostum (Cosplay) yang tidak mendapat kebenaran daripada Puspal.
Beliau berkata, hasil serbuan di pusat kovensyen terbabit seramai 13 warga asing yang menyertai program tersebut telah diperiksa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga wanita warga Jepun dan seorang lelaki warga Sepanyol berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun atas kesalahan melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas dengan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu mengadakan persembahan umum dengan pas lawatan sosial. – K! ONLINE











