PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan mengenal pasti baki pemandu e-hailing dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tidak dapat hadir menduduki ujian lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) hari ini bagi membolehkan mereka berbuat demikian.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya juga akan berhubung dengan penyedia perkhidmatan (EHO) masing-masing dan meminta mereka memberikan sokongan dari segi kewangan untuk menampung kos perbelanjaan.
“Seramai 256 orang atau lebih 70 peratus dapat menduduki ujian hari ini dan ada sedikit lagi iaitu sekitar 100 orang yang tidak dapat hadir.
“Saya difahamkan ada kira-kira 50 orang dari Pulau Pinang dan negeri lain dan kita akan kenal pasti pemandu tersebut dengan EHO masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Anthony berkata, pihak kementerian juga akan meminta Kementerian Kesihatan untuk membantu dari segi logistik dengan menyediakan pusat pemeriksaan kesihatan di hospital di Pulau Pinang bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di sana.
“Kementerian cuba bantu untuk memudah cara proses ini dan berharap pemandu-pemandu ini dapat bekerjasama tetapi jika mereka tidak dapat hadir mengikut ketetapan maka kita tidak boleh memaksa mereka,” katanya.
Sementara itu, Anthony berkata, program khas lesen PSV untuk pemandu OKU itu bukanlah satu perkara mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan koordinasi dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Program ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini dan buat pertama kalinya kerajaan ambil inisiatif dengan mengadakan ujian PSV di kementerian.
“Kita prihatin dan akan cuba melakukan sebaik mungkin untuk memudahkan proses bagi membolehkan golongan pemandu e-hailing OKU ini mendapatkan lesen,” katanya. – K! ONLINE











