KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu mengikut telunjuk atau terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang cuba menggambarkan kononnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengenang budi serta mengabaikan janji pilihan raya umum lalu.
Menyifatkan dakyah sedemikian tidak berasas, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (Bersatu), Abu Bakar Yahya sebaliknya mengingatkan kerajaan pada hari ini sedang berusaha keras untuk memastikan pembangunan sosioekonomi rakyat disusun sebaik-baiknya menerusi pemulihan semula pentadbiran serta ekonomi negara.
“Saya yakin rakyat Malaysia termasuklah orang Melayu hari ini telah matang dari segi cara berfikir. Dengan kematangan ini saya percaya rakyat tidak mudah untuk menerima bulat-bulat apa jua dakyah negatif yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah daripada pembangkang.
“Pihak pembangkang sebagai contoh, sebelum ini mempunyai peluang yang cukup lama ketika memegang kuasa pentadbiran kerajaan sebelum ini. Malangnya, tiada pendekatan yang konstruktif yang benar-benar dilaksanakan dalam membela nasib rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu,” katanya.
Abu Bakar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Kobena Berhad yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamad di Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru di sini semalam.
Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu meminta semua rakyat mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran kemajuan akan datang menerusi dasar baharu yang akan diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan kemakmuran bersama sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri.
Sabtu lalu, Dr. Mahathir semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kulim Kedah menegaskan kerajaan akan membalas budi rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Menurut Perdana Menteri, satu dasar baharu diperkenalkan kerajaan untuk membalas budi rakyat dan dasar itu menumpukan kepada kemakmuran bersama.
Dasar baharu itu menurut Dr. Mahathir tidak akan meminggirkan mana-mana pihak selagi mereka sanggup berusaha selari dengan pendekatan yang dirancang oleh kerajaan. – K! ONLINE











