KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia terjamin berikutan ketegangan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, dalam soal ini, pihak Tabung Haji (TH) sentiasa berurusan dengan pihak keselamatan Arab Saudi.
“Ini kerana apabila jemaah haji berada di bumi Mekah, ia di bawah (bidang) kuasa (pihak) keselamatan Arab Saudi dan sudah tentulah mereka mempunyai obligasi yang tinggi dan tanggungjawab bagi menjamin keselamatan jemaah haji seluruh dunia termasuk jemaah haji Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jaminan kerajaan berhubung keselamatan jemaah haji Malaysia berikutan perkembangan di rantau itu.
AS dilapor telah menggerakkan pesawat F-22 (stealth fighters) ke Asia Barat susulan tindakan Iran baru-baru ini menembak jatuh dron milik AS. Iran mendakwa ketika kejadian, dron itu berada di ruang udaranya namun Washington pula berkata, ia berada di ruang udara antarabangsa. – Bernama











