ARAU – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau mengucapkan selamat kembali kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mula menjalankan tugas selepas lebih enam bulan bercuti.
Serentak dengan itu, ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar turut berharap agar Ahmad Zahid dapat mempertimbangkan cadangan agar tempoh cuti tahunan untuk pemegang jawatan di semua peringkat parti dapat dihadkan.
Katanya, hal demikian bagi membolehkan jawatan seseorang pemimpin itu dapat dilucutkan sekiranya tidak kembali bertugas selepas sesuatu tempoh.
“Adalah amat tidak bertanggungjawab untuk seseorang pemimpin bercuti untuk tempoh sesuka hati dan kembali semula secara mengejut dengan sesuka hati juga tanpa dipandu oleh peraturan yang jelas.
“Sekiranya cadangan tersebut dapat diterima, besarlah harapan kami sekiranya presiden dapat mengambil cuti tersebut sepanjang tempoh yang ditetapkan itu,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman tersebut pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu.
Baru-baru ini, Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau sebulat suara meluluskan usul memperkenalkan had tempoh bercuti untuk semua jawatan di dalam parti bagi memastikan organisasi dapat bergerak dengan sempurna.- UTUSAN ONLINE











