Ahmad Zahid ada hak kembali memimpin UMNO - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid ada hak kembali memimpin UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumum menamatkan cuti untuk kembali memimpin parti itu mempunyai hak berbuat demikian.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, hal demikian kerana Ahmad Zahid dipilih sebagai presiden melalui undian dalam pemilihan parti itu dan bukannya dilantik

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada saya UMNO mengamalkan sistem demokrasi. Dalam pemilihan, Ahmad Zahid terpilih sebagai Presiden UMNO melalui proses demokrasi. Ahmad Zahid bukan dilantik.

“Beliau (Ahmad Zahid) menang bertanding jawatan presiden dan sudah tentulah beliau ada hak untuk kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO selepas bercuti selama enam bulan sebelum ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat pengumuman tersebut pada satu Majlis Hari Raya Aidilfitri di Sungai Sumum, Bagan Datuk, Perak sempena setahun beliau dipilih sebagai presiden parti itu.

Pengumuman Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menerima reaksi positif daripada pemimpin-pemimpin parti itu.

Antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan yang berkata, sememangnya Presiden UMNO itu patut kembali bertugas kerana parti perlu diuruskan bersama.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula menyifatkan ‘kepulangan’ Ahmad Zahid sebagai presiden akan memperkukuhkan saf kepemimpinan parti itu.

Dalam masa sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula mengingatkan bahawa Ahmad Zahid adalah presiden yang dipilih secara sah oleh perwakilan, maka beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, sepanjang Ahmad Zahid bercuti, Mohamad telah melaksanakan tugas dengan baik.

“Hal itu terbukti apabila Tok Mat berjaya membantu kemenangan UMNO dan Barisan Nasioanal (BN) dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) secara berturut-turut sebelum ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini